WASHINGTON, 3 OKT – Bank Dunia pada Ahad mengunjurkan pertumbuhan 5.1 peratus bagi ekonomi China pada 2023, menurut Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik yang baru dikeluarkan.
“China mempunyai kekuatan yang luar biasa,” Aaditya Mattoo, ketua ekonomi untuk Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, memberitahu taklimat akhbar dalam respons kepada soalan daripada Xinhua.
“Ia telah menunjukkan prestasi yang hebat dalam pembuatan, tetapi bukan hanya dalam pembuatan asas, (juga) jenis pembuatan inovatif yang diceburi China, jenis kapasiti manusia yang dicipta di China,” kata pakar ekonomi itu.
Mattoo berkata China merancang untuk memastikan kualiti pertumbuhan yang lebih baik dan tidak hanya memikirkan bagaimana pertumbuhan boleh dipercepatkan dalam jangka pendek.
“Sejauh mana China akan berkembang adalah persoalan yang kurang menarik berbanding bagaimana China memilih untuk berkembang,” katanya.
Menurut tinjauan, pertumbuhan di rantau Asia Timur dan Pasifik tahun ini adalah lebih tinggi daripada purata yang diunjurkan untuk semua pasaran baru muncul dan ekonomi membangun yang lain.
Ia dijangka kekal kukuh pada 5 peratus pada 2023 tetapi akan berkurangan pada separuh tahun kedua 2023 dan diramalkan berjumlah 4.5 peratus pada 2024, menurut laporan itu, sambil menambah ekonomi China diunjurkan mencecah 4.4 peratus pada 2024.
“Rantau Asia Timur dan Pasifik kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang dan paling dinamik di dunia, walaupun pertumbuhan adalah sederhana,” kata Naib Presiden Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik, Manuela V Ferro. – AP