Ekonomi China kekal mantap 

BEIJING, 19 OKT – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China untuk tiga suku pertama tahun ini merekodkan pertumbuhan sebanyak 9.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Pusat Data China di Universiti Tsinghua, Xu Xianchun berkata ekonomi domestik menyaksikan pemulihan mantap, didorong oleh penggerak baharu.

Untuk rekod, output kenderaan tenaga alternatif, robot perindustrian dan litar bersepadu masing-masing menokok 172.5 peratus, 57.8 peratus dan 43.1 peratus.

Sementara itu, jualan runcit barangan dalam talian meningkat 15.2 peratus, sekali gus menyumbang sebanyak 23.6 peratus kepada keseluruhan jualan runcit barang pengguna di China.

Menurut Xu, selain mempercepat transformasi digital serta menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) inovatif, China juga akan terus membangunkan gudang di luar negara, e-dagang rentas sempadan dan internet perindustrian.

Beliau berpendapat bahawa kesemua elemen tersebut dapat melancarkan lagi rantaian bekalan dalam dan luar negara. – Bernama