BEIJING, 13 April – Eksport China meningkat pada Mac, pertambahan terbesar dalam dua tahun, dalam petanda terbaru permintaan global yang memberangsangkan tatkala kebimbangan reda berhubung perang perniagaan dengan AS selepas Presiden Donald Trump melembutkan dasarnya mengenai Beijing.
Angka baru itu, dikeluarkan pada hari ini, merangsang harapan bahawa ekonomi nombor dua dunia sedang kembali pulih selepas kemelesetan baru-baru ini – ia bertumbuh pada kadar paling perlahan pada tahun lalu dalam satu suku abad.
Trump, yang mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden China Xi Jinping pada minggu lalu, mengubah haluan mengenai janji kempen pilihan rayanya yang melabel Beijing sebagai pemutar belit mata wang dan mengenakan tarif ke atas import China.
Beliau menarik balik kecaman mengatakan negara gergasi Asia itu ‘memperkosa’ ekonomi AS dengan kata-kata pujian, memberitahu beliau ‘amat kagum’ dan berkongsi ‘keserasian amat baik’ dengan Xi pada persidangan akhbar.
Dalam petanda positif untuk ekonomi China, eksport meningkat 16.4 peratus tahun-ke-tahun kepada AS$180.6 bilion pada Mac, kata agensi kastam negara, menandakan pemulihan dramatik daripada kemerosotan 1.3 peratus pada Februari.
Import juga meningkat 20.3 peratus kepada AS$156.7 bilion pada bulan lalu, kata Kastam, sementara lebihan dagangan bertambah kepada AS$23.9 bilion.
Satu pemulihan dalam permintaan luar, kenaikan harga import dan ekonomi domestik yang stabil merangsang angka berkenaan, beritahu jurucakap Kastam Huang Songping pada satu taklimat media hari ini.
Data pada Mac ‘mencerminkan permintaan domestik yang kukuh, terutamanya permintaan pelaburan’, kata Zhao Yang daripada Nomura dalam satu nota. – AFP