Ekonomi China meningkat 1.3 peratus

BEIJING, 12 JULAI – China kembali mencatat pertumbuhan dalam suku kedua selepas pandemik koronavirus memberikan ekonomi kedua terbesar dunia pengecutan pertamanya dalam beberapa dekad, menurut tinjauan penganalisis AFP.

Tinjauan penganalisis dari 11 institusi menambat pertumbuhan China pada 1.3 peratus – jauh berbeza daripada perkembangan 6.1 peratus yang dicatat pada tahun lalu tetapi lebih baik daripada negara-negara lain yang masih bergelut dengan wabak koronavirus.

Koronavirus, yang pertama muncul di wilayah tengah perindustrian Hubei pada akhir tahun lalu, telah menutup perniagaan di seluruh dunia dan menghapus ratusan juta pekerjaan.

Namun penganalisis meramalkan China akan menjadi satu-satunya ekonomi besar yang mengalami pertumbuhan positif pada tahun ini, sebahagiannya disebabkan ia pertama dilanda COVID-19 dan dengan itu yang pertama untuk berpulih.

China dijangka mencatat pertumbuhan 1.7 peratus untuk tahun penuh, menurut ahli ekonomi yang ditinjau oleh AFP, berbanding ramalan pengecutan global oleh IMF.

Data pertumbuhan untuk tempoh April hingga Jun akan disiarkan pada Khamis.

Kerajaan menutup negara selama beberapa bulan untuk mengawal virus, menghentikan kerja kilang, mengekal pekerja di rumah serta mengehad perjalanan. – AFP