Ekonomi digital Indonesia cecah AS$40 bilion

JAKARTA, 8 OKT – Ekonomi digital Indonesia dijangka mencecah AS$40 bilion menjelang akhir tahun ini, memetik laporan e-Conomy Southeast Asia (SEA) 2019, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Laporan itu dikumpulkan Google, Temasek dan Bain & Company.

Pengarah Urusan Google Indonesia Randy Jusuf berkata ekonomi Internet Indonesia dijangka mencecah AS$40 bilion tahun ini dan akan meningkat lebih AS$133 bilion pada 2025.

Kajian terbaharu itu melaporkan kadar pertumbuhan Indonesia pada 49 peratus, tertinggi di Asia Tenggara, katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Pertumbuhan ekonomi digital negara itu meliputi e-dagang, media dalam talian, pengangkutan dalam talian, pelancongan dan perkhidmatan kewangan digital.

Dalam tempoh empat tahun, laporan itu meramalkan e-dagang Indonesia melonjak 12 kali ganda dengan pertumbuhan pengangkutan dalam talian meningkat enam kali ganda.

Perniagaan pembiayaan kewangan juga berpotensi melebihi rekod 2018. Jakarta dan kawasan sekitarnya, termasuk Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi, akan menjadi pemacu utama pertumbuhan itu. – Bernama