WASHINGTON, 24 MAC – Ekonomi dunia berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang ‘teruk’ disebabkan oleh pandemik koronavirus di mana ia mungkin lebih teruk daripada tahun 2009 dan ia memerlukan respons yang tidak pernah dibuat sebelum ini, ketua IMF, Kristalina Georgieva berkata kelmarin.
Georgieva menyeru ekonomi maju supaya memberikan lebih banyak sokongan kepada negara-negara yang mempunyai pendapatan yang rendah, di mana mereka berdepan dengan aliran perbelanjaan yang besar, dan berkata bahawa IMF ‘bersedia mengeluarkan kapasiti pinjaman bernilai AS$1 trilion.’
Dengan kebanyakan dunia mengalami penutupan besar-besaran, Georgieva mengingatkan menteri-menteri kewangan dari negara G20 bahawa prospek tahun 2020 ‘adalah negatif di mana kemelesetan sekurang-kurangnya sama teruk semasa krisis kewangan global atau lebih teruk lagi’.
Ekonomi global mengecut 0.6 peratus pada tahun 2009 disebabkan oleh krisis kewangan global tahun 2008, tetapi pasaran membangun utama seperti China dan India pada masa itu berkembang pada kadar yang pesat.
Sebagai perbandingan, pandemik koronavirus ini mencetuskan krisis ekonomi dan kematian manusia di seluruh dunia, dan beberapa peramal kini menyatakan kemelesetan berkemungkinan mencecah 1.5 peratus.
“Kos yang ditanggung manusia disebabkan oleh pandemik koronavirus sudah tidak dapat dibayangkan dan semua negara mesti bekerjasama untuk melindungi orang ramai dan mengehadkan kemusnahan ekonomi,” kata Georgieva.
Bagaimanapun, pasaran membangun dan negara berpendapatan rendah ‘berdepan dengan cabaran besar’ dan mungkin memerlukan bantuan kewangan tambahan dan bantuan hutang.
“Para pelabur telah mengeluarkan AS$83 bilion dari pasaran membangun sejak krisis bermula, aliran keluar modal terbesar yang pernah dicatat,” kata beliau.
Hampir 80 buah negara telah pun meminta bantuan kecemasan daripada IMF untuk menangani penularan wabak, kata Georgieva. – AFP
