Ekonomi dunia terancam – g20

FUKUOKA, 9 JUN – Para pembuat dasar kewangan teratas dunia mengakui hari ini bahawa ketegangan perdagangan ‘yang semakin meningkat’ memberikan ancaman kepada ekonomi global, selepas satu mesyuarat G20 yang jelas menunjukkan perbezaan pendapat antara Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.

Berikutan perbalahan selama 30 jam dalam apa yang dikatakan oleh seorang pegawai sebagai atmosfera ‘tegang’, menteri kewangan G20 dan ketua-ketua bank pusat mengeluarkan satu kenyataan akhir mengakui bahawa ‘pertumbuhan masih rendah dan risiko kekal membawa kepada kemerosotan’.

“Apa yang penting, ketegangan perdagangan dan geopolitik telah meningkat,” menurut G20 dalam satu kenyataan yang dilihat AFP, dengan menambah bahawa mereka ‘bersedia untuk mengambil langkah lebih jauh’ jika perlu.

Tetapi perang perdagangan sentiasa dalam fikiran pembuat dasar ketika AS dan China terus mengancam antara satu sama lain dengan tarif, yang mana para pakar ekonomi bimbang situasi itu akan membantutkan pertumbuhan global.

IMF menyatakan bahawa tarif AS-China boleh melenyapkan KDNK global sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2020 atau kira-kira AS$455 bilion, menekankan perlunya adalah penyelesaian bagi mengelakkan ekonomi dunia mengalami satu lagi krisis.

Para menteri G20 merasa lega hanya beberapa jam sebelum mesyuarat apabila AS dan Mexico mencapai satu perjanjian ke atas isu imigrasi yang mengelakkan tarif lima peratus ke atas barangan Mexico.

Tetapi Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin memberitahu para wartawan bahawa Washington bersedia untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas China sekiranya Presiden Donald Trump dan Presiden China, Xi Jingping gagal mencapai satu perjanjian pada persidangan G20 hujung bulan ini di Osaka. – AFP

Gabenor Bank Pusat China, Yi Gang (kanan) mendekati Steven Mnuchin semasa persidangan G20 di Jepun. – AP

SAHAM
TerdahuluItali benam Greece
SeterusnyaKehebatan Priyanka Chopra