Ekonomi Filipina terjejas teruk

MANILA, 6 OGOS – Filipina terjunam ke dalam kemelesetan setelah penguncupan suku tahunan terbesar dalam catatan, data menunjukkan hari ini, ketika ekonomi tidak stabil akibat sekatan pergerakan (lockdown) koronavirus yang telah menjejaskan perniagaan dan jutaan lagi kehilangan pekerjaan.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyusut 16.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, menurut Lembaga Statistik Filipina, ketika negara itu melaksanakan salah satu perintah duduk di rumah paling lama di dunia bagi memperlahankan penularan virus yang memusnahkan ekonomi di seluruh dunia.

Ia disusuli pengecutan 0.7 peratus yang disemak semula dalam tiga bulan pertama tahun ini dan menandakan pengurangan terbesar dalam aktiviti ekonomi sejak rekod bermula pada tahun 1981 semasa pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.

Ia adalah kemelesetan pertama negara itu dalam tiga dekad.

Prospek bagi nusantara itu suram, dengan jumlah jangkitan koronavirus melonjak 115,000 minggu ini – peningkatan lebih dari lima kali ganda sejak awal bulan Jun ketika sekatan yang melumpuhkan ekonomi dilonggarkan.

Pemandu Jeepney memakai penutup mulut dan hidung membawa pelekat yang berbunyi ‘Tuan/Puan, mohon bantuan, kami para pemandu Jeepney’ ketika meminta sumbangan ihsan di sebatang jalan di Manila pada 6 Ogos. – AFP

“Tidak diragukan lagi, pandemik dan kesan buruknya terhadap ekonomi telah menguji ekonomi tidak seperti sebelumnya,” kata pemangku Setiausaha Perancangan Sosioekonomi Karl Chua.

“Tetapi tidak seperti krisis masa lalu, Filipina sekarang berada dalam posisi yang lebih kuat untuk mengatasi krisis tersebut.”

Ketika kakitangan kesihatan berjuang untuk menangani kemasukan ramai pesakit, lebih 27 juta orang di Manila dan empat wilayah sekitarnya di pulau utama Luzon – yang menyumbang kepada lebih dua pertiga pengeluaran ekonomi negara – dikenakan semula sekatan separa selama dua minggu bermula Selasa untuk membantu mengurangkan tekanan di hospital.

Tetapi Presiden Rodrigo Duterte, yang enggan mengetatkan sekatan semula setelah berjuta-juta penduduk kehilangan pekerjaan pada sekatan pertama, telah memberi amaran bahawa negara itu tidak mampu untuk ditutup lebih lama.

“Masalahnya ialah kita tidak mempunyai wang lagi. Saya tidak dapat memberikan makanan lagi dan wang kepada rakyat,” kata Duterte Ahad lalu.

Kesengsaraan ekonomi negara telah ditambah lagi dengan pengurangan kiriman wang daripada ramai warga Filipina yang bekerja di luar negara yang biasanya mengirim wang kepada keluarga mereka setiap bulan, yang mendorong perbelanjaan pengguna – pemacu utama pertumbuhan negara itu. – AFP