Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Ekonomi global jejas keuntungan Samsung

    SEOUL, KOREA SELATAN, 31 JAN — Samsung Electronics hari ini berkata keuntungannya untuk suku terakhir menjunam hampir 70 peratus apabila ekonomi global yang lemah menekan permintaan untuk produk elektronik pengguna dan cip memori komputernya.

    Keuntungan operasi syarikat itu dianggarkan sebanyak 4.3 trilion won (AS$3.5 bilion) untuk tiga bulan hingga Disember, turun 69 peratus berbanding tahun sebelumnya, mewakili keuntungan suku tahunan terendah sejak suku ketiga 2014. Hasil keuntungan pula turun 8 peratus kepada 70.46 trilion won (AS$57.2 bilion).

    Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkembang maju pada dua tahun pertama wabak, kerana kekuatan ganda dalam komponen dan produk yang telah siap, mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk PC, TV dan cip yang menjanakan pelayan komputer semasa penularan wabak itu memaksa berjuta-juta orang bekerja di rumah.

    Tetapi lebih sukar bagi syarikat itu untuk mengharungi kejutan ekonomi yang dicetuskan oleh perang Rusia ke atas Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan perindustrian dan menyebabkan ekonomi utama bergelut dengan inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan.

    “Persekitaran perniagaan merosot dengan ketara pada suku keempat disebabkan oleh permintaan yang lemah di tengah-tengah kelembapan ekonomi global,” kata Samsung dalam satu kenyataan.

    Hasil keuntungan bagi suku terakhir perniagaan semikonduktor syarikat itu turun secara signifikan daripada 8,83 trilion won (AS$7,1 bilion) yang diperoleh setahun sebelumnya kepada 270 bilion won (AS$219 juta).

    Samsung berkata harga cip jatuh mendadak di tengah-tengah permintaan yang lemah apabila pelanggan menyesuaikan inventori mereka semasa menghadapi ‘ketidakpastian yang semakin mendalam’ dalam ekonomi global, masalah yang dikatakan syarikat itu mungkin akan berlanjutan hingga suku pertama 2023.

    Samsung juga menjangka permintaan untuk telefon pintar dan TV akan terus jatuh pada suku pertama di tengah-tengah kemelesetan ekonomi global.

    Harga saham Samsung jatuh 3.5 peratus hari ini. – AP

    Pelanggan mencuba Galaxy Book2 di kedai Samsung Electronics, Seoul, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...