Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Jepun terus positif

    TOKYO, 10 Ogos – Ekonomi Jepun meneruskan perkembangan lamanya dalam suku terakhir tatkala pengguna dan perniagaan menambah perbelanjaan, kata kerajaan hari ini.

    Data awal menunjukkan perniagaan membebani pertumbuhan, petanda membimbangkan tatkala Jepun bersedia menghadapi tarif yang dirancang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas import keluli dan mungkin kereta dan alat ganti kereta.

    Ekonomi ketiga terbesar dunia itu bertumbuh pada kadar 1.9 peratus selepas mengecut sebanyak 0.6 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac, kata Pejabat Kabinet.

    Dari segi suku, keluaran dalam negara kasar berkembang 0.5 peratus dalam tempoh April hingga Jun, kembali pulih daripada pengecutan sebanyak 0.2 peratus.

    Pengguna berbelanja lebih banyak sebahagiannya disebabkan pertambahan dalam pendapatan yang kebanyakannya didorong oleh bayaran bonus setengah tahun.

    Gambar fail pada 20 Julai 2018 menunjukkan orang ramai berjalan di daerah membeli-belah Ginza di Tokyo. Jepun melaporkan ekonominya terus berkembang pada suku terakhir ketika pengguna dan perniagaan meningkatkan perbelanjaan. – AP

    Pertambahan sebanyak 2.1 peratus dalam pendapatan wang tunai pada suku akhir adalah yang paling kukuh sejak 1997 dan pertumbuhan pekerjaan juga masih kukuh, tetapi sebahagian besar pendapatan tersebut mungkin disalurkan kepada simpanan, kata Marcel Thieliant daripada Capital Economics dalam satu komentar.

    Dia berkata menjangka perbelanjaan kekal kukuh sebelum kenaikan cukai jualan dijangka dikenakan pada tahun depan.

    “Sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula berkembang sekali lagi pada suku kedua, pertumbuhan tidaklah sehebat berbanding tahun lalu. Dengan ekonomi menghadapi sekatan kapasiti, kami fikir aktiviti akan kekal lembap untuk sekarang,” kata Thieliant.

    Pengecutan pada awal tahun menjejas perkembangan paling lama Jepun dalam hampir tiga dekad. Namun pertumbuhan masih lebih lemah daripada yang diharapkan.

    Namun, berita itu mungkin membantu Perdana Menteri Shinzo Abe dalam kempennya untuk kekal sebagai pemimpin Parti Liberal Demokratik dalam satu pilihan raya pada September.

    Prospek perniagaan adalah tidak pasti, berdasarkan kebergantungan pengeluar Jepun pada permintaan daripada kilang di China.

    Tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh AS ke atas eksport barangan China bernilai berbilion dolar mungkin menjejas pelbagai industri Jepun yang membekal mesin dan alat ganti. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda