Ekonomi Jerman susut 10.1 peratus

FRANKFURT AM MAIN, 30 JULAI – Ekonomi Jerman menyusut sebanyak 10.1 peratus dalam suku kedua apabila sekatan koronavirus memberikan kesan paling teruknya, data rasmi menunjukkan hari ini, namun pakar berkata pemulihan telah pun dilancarkan.

Agensi statistik persekutuan Destatis menganggap kemerosotan suku dalam keluaran dalam negara kasar sebagai ‘bersejarah’ dan jauh lebih besar daripada mana-mana kemelesetan yang dilihat semasa krisis kewangan 2008-2009.

Menteri Ekonomi Peter Altmaier memberi amaran pada awal tahun ini bahawa pandemik akan mendesak ekonomi teratas Eropah mengalami ‘kemelesetan paling teruk’ dalam sejarah selepas perang, justeru menamatkan pertumbuhan selama satu dekad.

Bagaimanapun, angka hari ini mengejutkan penganalisis yang telah meramalkan penyusutan sebanyak sembilan peratus untuk tempoh April-Jun.

Destatis berkata usaha untuk membendung wabak virus telah mencetuskan ‘kemelesetan besar’ dalam eksport dan import, walaupun perbelanjaan kerajaan telah meningkat dalam tempoh itu.

Jerman nampaknya bertahan kejutan koronavirus lebih baik daripada negara jirannya setakat ini dan mula membuka semula kilang, kedai dan restoran pada awal Mei, membenarkan aktiviti ekonomi berpulih sekali lagi.

Negara itu juga berjaya mengelak pembuangan pekerja beramai-ramai, dengan data berasingan hari ini menunjukkan pengangguran stabil pada 6.4 peratus pada Julai, kadar yang sama dengan Jun. – AFP

Gambar fail menunjukkan gelung keluli di kilang pengeluar keluli ‘Salzgitter AG’ di Salzgitter, tengah Jerman. Ekonomi Jerman menyusut 10.1 peratus dalam suku kedua 2020 disebabkan impak koronavirus. – AFP