Ekonomi: Malaysia tetap terus waspada

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati walaupun mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh bagi suku kedua tahun ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata data KDNK turut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun terdedah kepada ketidaktentuan global.

“Malaysia dapat mengetepikan aliran serantau pada suku kedua tersebut apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 4.9 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang mantap khususnya perbelanjaan swasta serta peningkatan pengeluaran sektor perlombongan dan kuari.

“Namun, kita akan terus kekal berwaspada terhadap sebarang cabaran mendatang dan mengekalkan disiplin fiskal ketika berusaha melakukan yang terbaik untuk melonjakkan lagi pertumbuhan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Kongres Statistik Sedunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan ucap tama. – Bernama