Ekonomi M’sia dijangka meningkat kukuh tahun ini

KUALA LUMPUR, 4 MEI – Ekonomi Malaysia dijangka meningkat semula dengan kukuh pada tahun ini dan 2022 berdasarkan pemulihan global yang dipacu vaksin walaupun wujudnya gangguan akibat kenaikan semula kes COVID-19 sejak akhir tahun lepas.

Menurut Laporan Perundingan Tahunan 2020 mengenai Malaysia yang dikeluarkan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) hari ini, pertumbuhan itu akan disokong oleh dasar domestik yang positif, kepelbagaian ekonomi dan sistem perbankan yang berdaya tahan.

Ketua ahli ekonomi AMRO Dr Hoe Ee Khor berkata pada 2021, ekonomi Malaysia dijangka meningkat semula sebanyak 5.6 peratus berikutan asas rendah dan peningkatan kukuh permintaan global yang dipacu program vaksinasi.

“Aktiviti pelancongan dan perjalanan antarabangsa dijangka menerima tarikan pada 2022 memandangkan vaksinasi COVID-19 mencapai imuniti kelompok di Malaysia dan luar negara, meningkatkan pertumbuhan (ekonomi) Malaysia kepada 6.2 peratus,” katanya dalam taklimat media AMRO secara maya haari ini.

Bagaimanapun beliau berkata unjuran itu diselubungi trajektori pandemik yang tidak pasti kerana kemajuan vaksin dan penyebaran vaksin bagi menentang mutasi virus. Selain itu, Hoe berkata kemusnahan kepada perniagaan dan pasaran buruh menunjukkan ekonomi mungkin tidak kembali kepada trend output sebelum pandemik dalam masa terdekat ini.– Bernama

Umat Islam berbuka puasa di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, Malaysia. – AP