KUALA LUMPUR, 21 April – Ekonomi dijangka akan terus berkembang dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang, dengan perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) meningkat sebanyak 0.8 peratus pada Februari tahun ini, kata Jabatan Perangkaan.
Jabatan itu dalam satu kenyataan, berkata perubahan tahunan IP, yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan, naik 0.5 peratus pada Januari 2017.
“Bagaimanapun, perubahan bulanan IP merekodkan penurunan sebanyak 0.9 peratus dalam bulan yang dirujuk disebabkan oleh bilangan pendaftaran syarikat-syarikat bhaaru (-1.0 peratus) termasuk jangkaan dalam nilai jualan sektor pembuatan (-0.8 peratus),” katanya.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur aktiviti ekonomi semasa, menokok sebanyak 1.3 peratus pada Februari 2017, hasil daripada penggunaan kapasiti dalam sektor perkilangan (0.6 peratus) dan Indeks jumlah dagangan peruncitan (0.3 peratus).
Perubahan tahunan IP dan IS menunjukkan peningkatan pada Februari 2017 berbanding dengan bulan sebelumnya dan pada masa yang sama, tahap kedua-dua Indeks Difusi kekal melebihi 50 peratus, menunjukkan bahawa ekonomi akan terus berkembang dalam empat hingga enam bulan akan datang. – Bernama