BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada harga tetap, bagi suku tahun kedua (Q2) 2024, telah meningkat sebanyak 6 peratus tahun-ke-tahun.
Ia disebabkan oleh peningkatan dalam sektor minyak dan gas sebanyak 7.7 peratus dan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.5 peratus, menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran akhbar bertajuk Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Kedua 2024, yang dikongsikan di sini.
Peningkatan bagi sektor minyak dan gas adalah didorong oleh pengeluaran minyak mentah, gas asli dan gas asli cecair (LNG). Pertumbuhan pengeluaran minyak mentah dan gas asli adalah selaras dengan padang minyak dan gas baharu, manakala peningkatan dalam pengeluaran LNG disebabkan oleh bekalan gas yang lebih tinggi.
Sektor bukan minyak dan gas terus menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dengan peningkatan subsektor-subsektor seperti pembuatan produk petroleum dan kimia sebanyak 52.8 peratus, pengangkutan udara sebanyak 24.2 peratus dan perdaga-
ngan borong dan runcit sebanyak 2.1 peratus.
Peningkatan bagi subsektor pembuatan produk petroleum dan kimia adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan pengeluaran produk petrokimia, metanol dan baja urea.
Pertumbuhan bagi subsektor pengangkutan udara adalah selaras dengan peningkatan jumlah penumpang udara dan kekerapan penerbangan, diikuti oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang meningkat selaras dengan aktiviti perdagangan borong, dengan peningkatan jualan kenderaan bermotor sebagai salah satu faktor penyumbang.
Sumbangan utama KDNK mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 64.7 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak 34.1 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 1.2 peratus.
Jumlah KDNK negara pada harga semasa pada Q2 2024 adalah sebanyak $5.2 bilion berbanding $4.8 bilion pada Q2 2023.
Sektor minyak dan gas telah menyumbangkan sebanyak 50.3 peratus termasuk aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG dan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 49.7 peratus termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q2 2024 adalah didorong oleh peningkatan eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 37.7 peratus, perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 6 peratus, diikuti oleh perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 4.9 peratus.
Walau bagaimanapun, pembentukan mo-dal kasar mencatatkan penurunan sebanyak 12 peratus.
KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Laporan penuh KDNK Q2 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui deps.mofe.gov.bn.