Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ekonomi negara catat pertumbuhan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Sektor bukan minyak dan gas negara telah mencatat perkembangan yang signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di mana sektor itu telah bertumbuh pada kadar kira-kira 5 peratus sejak 2019, atas sumbangan aktiviti-aktiviti baharu dan perkembangan aktiviti yang sedia ada.

    Sumbangan sektor hiliran kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah tumbuh dengan signifikan iaitu daripada kira-kira $100 juta sebelum 2019 kepada kira-kira $1.6 bilion pada 2021, iaitu peningkatan lebih 10 kali ganda dalam tempoh tiga tahun.

    Dari segi eksport, sektor hiliran juga mencatatkan nilai kira-kira $8 bilion pada 2021 iaitu melepasi nilai eksport minyak dan gas sebanyak kira-kira $6.4 bilion.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapan khas bertajuk, Ekonomi Brunei Ke Arah Wawasan Brunei 2035: Di Manakah Kita?, semasa simposium Minggu Ekonomi, Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau menjelaskan kilang baja baharu di Taman Perindustrian Sungai Liang telah memulakan pengeluaran pada hujung 2021 dan mengeksport kargo pertamanya pada Januari 2022 dengan nilai $19.1 juta.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bergambar ramai bersama ahli panel simposium Minggu Ekonomi, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menyaksikan pameran Minggu Ekonomi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Apabila kilang itu mencapai kapasiti pengeluaran penuh, jelasnya, ia dijangka menyumbang $400 juta tambahan kepada KDNK tahunan Brunei dan nilai eksport tahunan sebanyak kira-kira $600 juta.

    Pada masa yang sama, negara juga menyaksikan sektor makanan tumbuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini khususnya akuakultur dan ternakan di mana pembangunan sektor berkenaan, dipacu oleh syarikat tempatan dan pelaburan langsung asing (FDI), yang amat penting dalam mempromosikan aktiviti berorientasikan eksport serta menyokong agenda negara dalam memastikan sekuriti makanan.

    Yang Berhormat Dato berkata sejak 2019, sektor tersebut telah berkembang secara purata 11.4 peratus di mana dari segi eksport, ia mencatatkan nilai kira-kira $52 juta pada 2021 berbanding kira-kira $8 juta, lima tahun lalu.

    Ketika bergerak ke arah pendigitalan, peranan sektor ICT juga menjadi semakin penting untuk memastikan akses bagi semua dan untuk membantu perniagaan dalam pemacuannya ke arah mencapai produktiviti yang lebih besar.

    Penyatuan infrastruktur rangkaian telekomunikasi baru-baru ini, jelas Yang Berhormat Dato, merupakan satu perkembangan utama yang membolehkan transformasi digital kebangsaan untuk dipercepatkan.

    Inisiatif itu, jelas beliau, dilaksanakan pada masa apabila kita berdepan dengan peningkatan permintaan bagi kesalinghubungan Internet sejak bermulanya pandemik dan pada masa yang sama, memberikan peluang kepada syarikat-syarikat ICT untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka.

    Disebabkan itu, sektor ICT telah berkembang secara purata 6.9 peratus setahun sejak 2019, kata Yang Berhormat Dato. Selain itu, beliau turut menyatakan pelbagai inisiatif juga sedang dilaksanakan dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.

    Projek Marine Maintenance and Decommissioning Yard, jelasnya, adalah amat penting dalam strategi keseluruhan untuk membangunkan industri perkhidmatan marin dalam negara berasaskan kepada Pelan Induk Kluster Maritim Brunei Darussalam yang diterajui oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

    Projek itu akan direalisasikan menerusi penyertaan kerajaan dalam sebuah syarikat usaha sama yang dikenali sebagai Anson International Sdn Bhd dengan rakan kongsi tempatan iaitu Haji Adinin dan Sons Sdn Bhd serta FDI bereputasi iaitu CessCon Decomm Ltd dan Dongil Shipyard Co.

    Selain peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan, Brunei turut memasuki sektor penting itu supaya perkhidmatan marin khusus akan dapat disediakan secara domestik serta membantu untuk mengekalkan nilai dalam negara dan menjana kesan limpahan ekonomi kepada negara.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato menyatakan dengan eksport industri perikanan dijangka meningkat menjelang 2035, Muara Port Company, melalui subsidiari, Muara International Fish Landing Sdn Bhd, secara rasminya telah mengambil alih Kompleks Pendaratan Ikan Muara pada Januari 2021.

    Ia bermatlamat untuk membangunkan kemudahan-kemudahan moden dan memastikan perkhidmatan Kompleks Pendaratan Ikan mampan alam sekitar dan berkualiti tinggi, untuk meningkatkan keberkesanan dan produktiviti industri perikanan.

    Sejak itu, jelasnya, fasa satu projek berkenaan yang menumpukan kepada pembangunan kemudahan sampingan pinggir pantai yang kritikal diperlukan bagi aktiviti pendaratan ikan, hampir siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2023 di mana ia akan membantu meningkatkan kecekapan aktiviti pendaratan ikan.

    Bagi sektor pelancongan, beliau menyatakan mereka menjalin perkongsian dengan sebuah organisasi pemuliharaan alam semula jadi yang terkenal di serantau dan operator eko-komersial dalam membangunkan sebuah tempat peranginan mesra-eko untuk mempromosikan pelancongan dan agenda pemuliharaan hutan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...