Ekonomi negara dijangka terus berkembang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Ekonomi Negara Brunei Darussalam dijangka akan bertumbuh dengan kukuh dalam jangka sederhana dengan pertumbuhan KDNK sebenar diramal pada 5.8 peratus bagi 2019 dan 7 peratus pada 2020.

Faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi Brunei itu ialah kenaikan kukuh pada harga LNG Asia dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini dan disokong dengan pembinaan projek mega petrokimia baharu yang dijangka akan beroperasi pada 2019.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Ekonomi Asia Pasifik, IHS Markit, Rajiv Biswas dalam pembentangannya mengenai pandangan masa akan datang serta keadaan semasa Sektor Perbankan ASEAN pada Perasmian Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-48 yang berlangsung di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian mesyuarat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (AEC), Dr Aladdin D Rillo.

Terdahulu dalam pembentangannya, Rajiv menyatakan bahawa rantau APAC dijangka akan terus menjadi rantau yang paling pantas membangun di dunia dalam dekad akan datang yang mana ia akan menyumbang kira-kira 50 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan KDNK dunia antara 2018 hingga 2028.

Rajiv Biswas ketika membentangkan mengenai pandangan masa akan datang serta keadaan semasa Sektor Perbankan ASEAN pada Perasmian Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-48 yang berlangsung di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut menyatakan bahawa China, India dan ASEAN akan menjadi kunci enjin pertumbuhan bagi pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

ASEAN akan menjadi salah satu rantau paling dinamik dalam ekonomi global di mana ia akan tumbuh pada kadar 5 peratus setahun dalam tempoh 2019 hingga 2020 yang mana pertumbuhan ekonomi ASEAN yang pesat itu, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam perbelanjaan pengguna dan pelaburan infrastruktur serta perdagangan antara negara-negara ASEAN yang pesat membangun.

Mengulas mengenai sektor perbankan ASEAN, Rajiv berkata bahawa sektor itu dijangka akan meraih manfaat daripada kadar pertumbuhan KDNK ASEAN yang pesat di mana ia akan memacu pertumbuhan kukuh permintaan bagi perkhidmatan kewangan termasuk perbankan runcit, perbankan korporat, kredit perdagangan dan pengurusan harta.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Naib Pengerusi Persatuan Bank Brunei, yang juga Naib Presiden Kanan dan Pengurus Cawangan United Overseas Bank, Brunei, Awang Abdul Razak Abdul Malek dalam kata alu-aluannya menerangkan bahawa Persatuan Perbankan ASEAN bermatlamat untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan menyediakan pendidikan untuk mempromosikan amalan perbankan terbaik di kalangan negara-negara anggota serta untuk mempromosikan kerjasama aktif di antara institusi-institusi perbankan ASEAN, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli perbankan.

Manakala itu, Pengerusi Persatuan Perbankan ASEAN dan Persatuan Perbankan Laos serta Pengarah Pengurusan Besar, Banque Pour Le Commerce Exterieur Lao Public, Phoukhong Chanthachack dalam ucapannya menyatakan bahawa kesemua ekonomi ASEAN turut terjejas dengan Revolusi Industri ke-4 dan menggalakkan semua pihak untuk membina kesiapsiagaan serta memanfaatkan potensi ekonomi yang hadir daripada kuasa transformasi yang dibawa oleh Revolusi Industri ke-4, dengan usaha tertumpu pada pertumbuhan ekonomi mapan.

Beliau menekankan perlunya untuk berhijrah daripada analog menuju ke digital memandangkan ia memberikan potensi impak ekonomi yang signifikan.

Mesyuarat dua hari bermula kelmarin itu dihadiri oleh lebih 200 orang eksekutif perbankan kanan daripada 10 buah negara anggota ASEAN yang mana semasa mesyuarat berkenaan, mereka menyokong cadangan bagi penubuhan tiga jawatankuasa tetap iaitu Kerjasama dalam Kewangan, Pelaburan, Perdagangan dan Teknologi (COFITT), Hubungan antara Rantau ASEAN (IRR) serta Pendidikan Perbankan.

Jawatankuasa COFITT memberikan penekanan kepada usaha berterusan untuk mempromosikan pembiayaan bertanggungjawab dan mapan menerusi pelaksanaan bengkel kesedaran dan pembangunan kapasiti di pelbagai negara-negara anggota ASEAN. Jawatankuasa itu juga akan berusaha untuk berkongsi dengan negara-negara anggotanya peluang yang terdapat dalam pembiayaan bon hijau.

Di samping itu, dalam usaha ke arah sebuah ekonomi digital, jawatankuasa berkenaan ketika bermesyuarat berkongsi bagaimana bank-bank boleh meningkatkan produktiviti dan menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik menerusi penggunaan kecerdasan buatan dan data besar dengan mengenali bahawa perlunya ada keseimbangan dengan keperluan untuk memahami dan menangani risiko serta sekuriti siber.

Sementara itu, Jawatankuasa bagi IRR menekankan usaha untuk mengembangkan lagi hubungan kerja dan kerjasama dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC).

Jawatankuasa bagi Pendidikan Perbankan pula menekankan usaha ke arah penubuhan sebuah portal atas talian bagi pendidikan dan latihan perbankan melalui laman sesawang Persatuan Perbankan ASEAN (ABA) dengan pemantauan oleh jawatankuasa berkenaan serta Sekretariat ABA.

Pendidikan dan latihan itu akan menumpukan kepada bidang perkembangan terkini dalam bidang perbankan digital, teknologi kewangan (fintech), sekuriti siber, alam sekitar, sosial dan urus tadbir serta kewangan Islam.

Persidangan Perbankan ASEAN ke-22 dan Mesyuarat Perbankan ASEAN ke-49 akan diadakan pada November 2019 di Kemboja dengan dihoskan oleh Persatuan Bank Kemboja.