SINGAPURA, 25 MEI – Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1.3 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2021 daripada penguncupan 2.4 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata, berdasarkan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.1 peratus, meneruskan pengembangan 3.8 peratus pada suku keempat tahun lepas.
Dengan mengambil kira ketidaktentuan yang lebih besar daripada kelaziman sepanjang berlakunya pandemik di seluruh dunia selain situasi domestik Singapura, MTI berkata ia telah memutuskan untuk mengekalkan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 pada 4.0 hingga 6.0 peratus setakat ini.
“Kajian semula ramalan itu akan dilaksanakan pada Ogos apabila terdapat data sukuan lain serta situasi ekonomi domestik dan global yang lebih jelas,” katanya. – Bernama




































