Ekonomi Thailand menguncup 12.2 peratus

BANGKOK, 17 OGOS – Ekonomi Thailand mengalami penguncupan teruk sejak krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, data menunjukkan hari ini, ketika koronavirus menjejaskan industri pelancongan penting negara itu.

Kerajaan itu dapat menangani virus maut itu dengan merekodkan 3,300 kes dan 58 kematian meskipun menjadi negara pertama di luar China yang melaporkan jangkitan itu pada Januari.

Namun sekatan pergerakan yang dicetuskan oleh pandemik itu telah membawa ekonominya terhenti, menguncup 12.2 peratus pada pertumbuhan suku kedua, menurut Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESDC).

Wabak itu ‘menyebabkan ekonomi kami menurun 12.2 peratus. Rendah daripada semasa krisis Tom Yum Kung’, kata setiausaha agung Thosaporn Sirisumphand yang menggunakan nama tempatan bagi merujuk Krisis Kewangan Asia yang melanda pada 1998 dengan ekonomi ketika itu menguncup 12.5 peratus pada suku kedua.

NESDC meramalkan penguncupan 7.5 peratus pada tahun ini.

Gambar fail bertarikh 5 Ogos 2020 menunjukkan seorang lelaki menaiki eskalator di sebuah gedung beli-belah yang dikelilingi hiasan payung-payung pantai di Bangkok. Pertumbuhan ekonomi Thailand menguncup sebanyak 12.2 peratus pada suku kedua tahun ini akibat pandemik koronavirus. – AFP

Kemelesetan itu ‘tidak dramatik seperti rakan serantau lain’, kata pakar ekonomi, Alex Holmes di Capital Economics di Singapura, merujuk kepada Singapura, Malaysia dan Filipina yang menyaksikan laporan teruk.

Namun “ramalannya kekal salah satu yang terburuk di rantau itu kerana kebergantungan Thailand terhadap pelancongan,” katanya kepada AFP.

Sekitar 40 juta pelancong dijangka tiba di negara itu tahun ini namun industri perjalanan menjadi mangsa pertama ketika sekatan pergerakan pandemik dikuatkuasakan seluruh dunia pada Mac lalu.

Ketiadaan para pelancong telah dirasakan dalam sektor perkhidmatan negara itu, menjejaskan hiburan, peruncitan, hotel-hotel dan restoran, menurut NESDC.

Kerajaan telah mencuba untuk merangsang pelancongan domestik dengan mengetepikan sebahagian rekod stimulus kewangan yang diluluskan pada Mei untuk membiayai perjalanan. – AFP