Ekonomi UK susut 1.5 peratus suku pertama

LONDON, 12 MEI – Ekonomi Britain merosot 1.5 peratus pada suku pertama ketika negara itu berdepan perintah berkurung koronavirus baharu, demikian menurut data rasmi yang keluar hari ini.

Walau bagaimanapun, UK kini melonggarkan sekatan secara beransur-ansur, yang membolehkan ekonomi pulih dari wabak penyakit itu.

“Ketika kita membuka kembali ekonomi dengan hati-hati, saya akan terus mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mendukung pemulihan kita,” kata menteri kewangan, Rishi Sunak.

Walaupun terdapat sekatan suku pertama, UK menikmati pertumbuhan 2.1 peratus pada bulan Mac, menurut Pejabat Statistik Nasional.

“Pemulihan kukuh dilihat pada bulan Mac, yang dipimpin pembukaan kedai dan sekolah adalah tidak cukup untuk menghalang ekonomi UK dari menguncup pada suku pertama secara keseluruhan, dengan perintah berkurung mempengaruhi sebahagian besar sektor perkhidmatan,” kata Darren Morgan, pengarah statistik ekonomi ONS. – AFP

Orang awam berjalan melewati sebuah kedai pakaian yang ditutup sementara di Regent Street di tengah London, di mana kedai-kedai yang tidak penting ditutup semasa perintah berkurung koronavirus ketiga di England. Ekonomi Britain menguncup sebanyak 1.5 peratus pada suku pertama 2021. – AP