Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Vietnam berkembang 7.4 peratus pada suku ketiga

    HANOI, 6 OKT – Ekonomi Vietnam berkembang sebanyak 7.4 peratus pada suku ketiga, menurut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini, walaupun mengalami kerugian ekonomi yang teruk akibat Taufan Yagi.

    Vietnam mengalami kerugian ekonomi sebanyak AS$3.3 bilion akibat Taufan Yagi yang melanda kawasan utara negara itu, mencetuskan banjir yang teruk serta 345 kematian.

    Kadar pertumbuhan itu dicapai hasil daripada ‘penyesuaian berkesan terhadap ketidakstabilan ekonomi global dan langkah menangani bencana alam,’ menurut kenyataan Pejabat Statistik Umum (GSO).

    Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan adalah yang paling terjejas oleh Yagi, kata GSO.

    Namun, eksport Vietnam meningkat sebanyak 15.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Gambar Freepik

    Kerajaan Vietnam menyasarkan kadar pertumbuhan ekonomi antara 6.8 hingga 7 peratus untuk 2024.

    Walau bagaimanapun, Bank Pembangunan Asia (ADB) memberi amaran pada September bahawa ‘ketegangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada bulan November boleh menimbulkan pemecahan rantaian, yang seterusnya akan memberi kesan negatif terhadap eksport, aktiviti pembuat-an dan peluang pekerjaan.”

    Menurut Pejabat Statistik Umum (GSO), AS adalah pasaran eksport terbesar Vietnam dalam tempoh sembilan bulan pertama pada tahun 2024.

    ADB turut menyatakan bahawa Vietnam masih berada dalam fasa pemulihan selepas taufan dan angka kerugian yang dianggarkan mungkin belum muktamad.

    S&P Global Market Intelligence melaporkan bahawa pengeluaran pembuatan menurun dengan ketara pada bulan September, di mana pesanan baharu berkurangan dan syarikat-syarikat menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan atau mengeksport tempahan mereka.

    ADB meramalkan pertumbuhan enam peratus untuk Vietnam menjelang akhir tahun ini.

    Negara tersebut telah lama menjadi kisah kejayaan dalam kalangan ekonomi Asia, dengan pertumbuhan ekonominya mencecah lapan peratus pada tahun 2022. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda