Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Ekosistem fintech negara berkembang pesat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan peningkatan produk dan perkhidmatan fintech yang ditawarkan seperti produk insurans digital yang membolehkan pelanggan membeli insurans secara langsung daripada aplikasi mudah alih dan meningkatnya penerimaan pembayaran mudah alih bagi utiliti, bil dan transaksi yang lain.

    Pada masa yang sama, fintech juga telah merubah sektor awam dengan pembayaran tanpa tunai diketengahkan dalam e-Darussalam bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti pembaharuan lesen kenderaan.

    Fintech juga telah memudahkan keusahawanan yang membolehkan perniagaan kecil ditubuhkan tanpa perlu pelaburan infrastruktur kewangan utama disebabkan perkhidmatan perbankan mudah alih.

    Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Brunei British bertajuk, Brunei’s Fintech Future yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa lebih banyak perniagaan juga menerima pembayaran tanpa tunai selain kad debit dan kredit seperti QuickPay, ProgresifPay dan Pocket. Pembayaran yang diketengahkan itu, jelasnya lagi, merupakan satu bidang kejayaan bagi Brunei.

    Namun begitu, beliau menerangkan bahawa tulang belakang infrastruktur berkenaan bukannya sesuatu yang hadir dengan begitu sahaja tetapi ia telah melalui proses pemikiran yang panjang untuk memastikan penyampaian sistem kewangan siap siaga untuk masa hadapan.

    Brunei juga telah melaburkan usaha yang besar dalam memodenkan sistem pembayaran kebangsaan dengan penubuhan Real-Time Gross Settlement Systems (RTGS) pada 2014 dan Automated Clearing House (ACH) pada 2016.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menerangkan lanjut bahawa satu inisiatif penting yang sedang dilaksanakan adalah Hab Pembayaran Digital iaitu projek induk Majlis Ekonomi Digital dan inisiatif bersama di antara Darussalam Assets dan bank-bank tempatan di Brunei.

    Apabila ia dilaksanakan nanti, pemindahan dana segera di antara bank-bank boleh dilakukan, memberikan manfaat sosioekonomi yang signifikan seperti meningkatkan produktiviti perniagaan, keberkesanan kos, inovasi dan teknologi kewangan serta memenuhi keperluan mereka yang tidak mempunyai perkhidmatan bank.

    Bersama-sama dengan Sistem Pembayaran Segera, kod QR kebangsaan juga akan dilaksanakan untuk memudahkan pengalaman membuat pembayaran digital.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...