Ekosistem lautan Adriatik diancam alga

VLORE, ALBANIA – Di teluk Vlora di tengah pantai Albania, air jernih berkilauan di bawah cahaya matahari tetapi di bawah permukaannya, ia bagaikan padang pasir.

Hutan alga berwarna coklat – titik panas biodiversiti – semakin menyusut, menurut ahli sains.

Suhu laut yang panas, pencemaran dan penangkapan ikan dinamit sedang melenyapkan hutan marin Adriatik.

Trend tersebut telah mendorong pakar Albania menyertai program Mediterranean untuk berusaha menterbalikkan kehilangan dengan menggunakan versi penanaman kaedah makmal.

Kekurangan data sejarah menjadikannya sukar untuk menyatakan kuantiti kemerosotan Cystoseira, genus alga coklat yang menyediakan habitat utama kepada kebanyakan spesies, berfungsi sebagai makanan serta tempat pembiakan dan kawasan semaian.

Ahli biologi Ina Nasto memeriksa penanaman Cystoseira di makmal Universiti Vlora. – AFP
Gambar dari udara menunjukkan Profesor Sajmir Beqiraj melakukan aktiviti snorkel di pantai Kallmi, dalam usaha untuk mencari alga yang merosakkan ekosistem Lautan Adriatik. – AFP

Namun pakar mengingatkan kehi-langannya di lautan Adriatik dan Ionian amat membimbangkan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan penyusutan mendadak dalam hutan marin Cystoseira, sebahagian besar terjejas oleh kenaikan suhu berpunca daripada perubahan iklim,” beritahu Ina Nasto, profesor biologi di Universiti Vlora, kepada AFP.

Pembandaran pantai yang semakin pesat, pembuangan bahan buangan air industri atau pertanian, penangkapan ikan menggunakan pukat tunda, pencemaran kelodak serta penangkapan ikan berlebihan juga menyumbang kepada masalah tersebut, katanya.

Amalan seperti penangkapan kupang dengan dinamit atau gerudi tukul untuk memecah batu di mana kupang hidup juga memusnahkan dasar laut, kata Denada Sota, juga profesor di Universiti Vlora.

Walaupun haiwan tersebut merupakan spesies dilindungi, kebanyakan restoran di pantai Albania masih menyajikan kupang sebagai hidangan istimewa.

Gambar-gambar yang diambil oleh ahli sains di teluk Vlora menunjukkan batu-batan yang terdedah, di mana ikan semakin kurang, hanya dihuni oleh landak laut yang berkembang biak di-sebabkan pemangsa semula jadinya telah lenyap akibat penangkapan ikan berlebihan.

Sejak Januari 2019, profesor dari makmal biologi universiti telah menyertai uji kaji bertujuan memulihkan alga coklat.

Kira-kira 10 institut lain di rantau Mediterranean juga mengambil bahagian, menggunakan protokol yang sama.

Ia membabitkan saintis di makmal Vlora yang membiak sel alga Cystoseira dalam akuarium.

Alga kecil melekat pada batu-batu yang kemudiannya ditenggelami dalam laut pada kedalaman empat meter.

“Kami perlu menjalankan pemantauan walaupun di dasar laut,” menurut Nasto, yang sering menyelam ke bawah untuk memeriksa dasar laut dan memeriksa perkembangannya.

Selepas beberapa minggu, ahli sains melihat sekali lagi untuk memeriksa keputusan uji kaji mereka dan mengetahui sama ada alga tersebut mempunyai rumah baharu.

Ahli sains berharap uji kaji berkenaan membolehkan mereka membangunkan protokol untuk pemulihan hutan marin.

Spesies yang menyerang menimbulkan satu lagi ancaman kepada ekosistem dasar laut – selama beberapa tahun, pinggir laut sepanjang lebih 400 kilometer di Albania telah menjadi hos kepada kebanyakan spesies bukan asli.

Salah satu spesies utama ialah Caulerpa cylindracea, yang telah menghapus padang rumput Posidonia, satu lagi rumpai laut yang penting kepada biodiversiti. Diperkenalkan dari Australia pada tahun 1990, Caulerpa – digelar tumor Mediterranean – telah pun menjajah kesemua pantai Albania, kata Sajmir Beqiraj, seorang profesor di Universiti Tirana.

“Seperti spesies penyerang lain, alga ini mempunyai kelebihan untuk bersaing dengan spesies asli dan menghapuskan fauna dan flora laut, sekali gus menjejas teruk biodiversiti.

Di Kallmet, di pantai utara, anda hanya perlu menyelam dua meter di bawah permukaan air untuk menemui koloni Caulerpa, katanya, sambil menunjukkan kepada AFP kawasan yang ditakluki oleh rumpai laut berkenaan. Dalam masa beberapa minit sahaja, begnya diisi separuh dengan alga hijau tua dalam bentuk gugusan kecil anggur.

Pakar telah mengenal pasti sejumlah 40 tumbuh-tumbuhan dan spesies haiwan penyerang di perairan Albania, seperti ikan ‘dusky spinefoot’ dari Laut Merah yang sedang memakan hutan alga.

Memandangkan fenomena itu lazim berlaku di negara Mediterranean dan Adriatik, ahli sains menggesa menggunakan satu pendekatan bersama.

“Kami mesti bergabung dan bertindak segera untuk mencari penyelesaian,” kata Nexhip Hysolokai, pakar biodiversiti dari Vlora.

Baci Dyrmishaj, seorang nelayan lebih daripada 25 tahun di Vlora, bersetuju masalah itu tidak hanya terbatas kepada sempadan, begitu juga respons. Beliau mengeluh pertambahan ketam biru yang memusnahkan pukat atau jaring dan menyerang hasil tangkapannya. “Ia bagaikan COVID-19,” katanya sambil tersenyum. “Negara besar berkumpul bersama untuk mencari vaksin, kita perlu melakukan yang sama untuk planet disebabkan tidak ada sempadan yang dapat menyelamatkan anda.” – AFP