Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ekosistem unik untuk kajian perubahan iklim

    PUERTO WILLIAMS, CHILE – Tersembunyi jauh di dalam hutan asli di kawasan terpencil selatan Chile, dikenali sebagai penghujung dunia, tanda-tanda amaran awal perubahan iklim telah timbul.

    Puerto Williams yang terletak di pulau Navarino, dan terpisah daripada tanah besar Amerika Selatan oleh Selat Beagle, adalah bandar paling selatan di dunia.

    Jauh daripada pencemaran yang menyelubungi pusat-pusat bandar dan perindustrian utama di dunia, ia merupakan syurga dunia yang menyediakan keadaan unik untuk kajian pemanasan global.

    “Tidak ada lagi tempat seperti itu yang boleh ditemui di mana-mana,” beritahu Ricardo Rozzi, pengarah Pusat Antarabangsa Cape Horn untuk kajian perubahan global dan pemuliharaan bio-budaya di Puerto Williams, kepada AFP.

    Ia adalah ‘sebuah tempat yang amat sensitif kepada perubahan iklim’ kerana suhu purata tidak meningkat melebihi lima darjah Celsius.

    Ricardo Rozzi mengajar pelancong dan saintis lain mengenai lumut, liken dan kulat di Taman Etnobotani Omora di Puerto Williams, bandar paling selatan di dunia, Chile. – AFP
    Seorang pelancong dengan kanta pembesar memerhatikan ‘hutan miniatur’ terbentuk daripada lumut dan liken di Taman Etnobotani Omora di Puerto Williams, bandar paling selatan di dunia, Chile. – AFP
    Kelihatan glasier di banjaran gunung Darwin semasa perjalanan menerusi Selat Beagle di rantau Magallanes, selatan Chile. – AFP
    Pemandangan ‘hutan miniatur’ terdiri daripada lumut dan liken yang diperbesarkan di Taman Etnobotani Omora. – AFP

    Kawasan yang sejuk dan berangin ini merupakan sempadan rantau selatan berhuni terakhir sebelum sampai ke Antartik.

    Taman Omora etnobotani menjadi tempat tinggal kepada pelbagai jenis liken, lumut dan kulat yang dikaji oleh ahli sains dengan membongkok atau bercangkung menggunakan kanta pembesar.

    Di sungai Robalo yang jernih, organisma amat kecil bertindak sebagai pengawal kepada perubahan yang dicetuskan oleh pemanasan global. Di taman dan juga sungai, tanda-tanda amaran boleh dilihat dengan amat ketara.

    Di garisan lintang ini – 55 darjah selatan – perubahan iklim mempunyai kesan amat besar ke atas flora yang memberikan tindak balas dengan mencari tempat yang mempunyai suhu rendah, kata Rozzi, 61. “Aspek perubahan iklim yang paling jelas adalah suhu meningkat,” kata beliau.

    ‘Liken berkenaan tidak dapat hidup’ sekiranya suhu melebihi nilai ambang tertentu. Untuk mengelak suhu yang lebih tinggi, tumbuhan tersebut akan berpindah.

    “Dalam kes lumut, kami mendapati ia telah berpindah. Sebelum ini, lumut berada di antara 50 dan 350 meter di atas paras laut namun sekarang ia berada di antara 100 dan 400 meter,” ujar Rozzi.

    Dia berkata Omora mempunyai lebih banyak diversiti liken dan lumut setiap meter persegi berbanding mana-mana tempat lain di dunia.

    Tumbuhan berkenaan juga membantu menyerap karbon dioksida.

    Satu lagi aspek adalah kecerunan diversiti yang sentiasa meningkat, satu pola ekologi di mana biodiversiti berubah mengikut ketinggian.

    Biodiversiti kawasan bukit Bandera dengan paras ketinggian 700 meter berubah setiap 200 meter dan terdapatnya perbezaan besar dalam suhu di antara bahagian atas dan bawah sebanyak 1.5 darjah Celsius.

    “Kami boleh melihat perubahan berlaku di kawasan pergunungan tinggi dan di kawasan yang hampir dengan laut dalam jarak amat pendek, dan kami boleh melihat bagaimana suhu menjejas biodiversiti yang hidup dalam sungai ini,” beritahu Tamara Contador, 38, ahli biologi di Pusat Antarabangsa Cape Horn, kepada AFP.

    Sekiranya perbezaan ketinggian di antara kecerunan naik atau turun di gunung, ahli sains boleh menentukan sama ada terdapatnya perubahan global dalam suhu.

    Menurut mereka, memang adanya perubahan suhu dalam setiap kes.

    “Di peringkat global, ekosistem kutub dan subkutub adalah paling terjejas oleh perubahan iklim, maka kami berada dalam kedudukan di mana perubahan iklim mempunyai kesan yang jauh lebih besar ke atas biodiversiti berbanding tempat lain,” menurut Contador.

    Organisma sungai juga membentuk sebahagian daripada sistem amaran tersebut.

    “Organisma yang hidup di sini juga merupakan petunjuk kualiti air dan perubahan alam sekitar global,” tambah Contador.

    Organisma sungai sentiasa bergerak dan telah pun menambah kitaran pembiakannya, kata Rozzi.

    “Beberapa serangga yang mempunyai kitaran tahunan daripada telur kepada larva kepada serangga dewasa kini mempunyai dua kitaran disebabkan suhu telah meningkat,” kata Rozzi.

    Dengan mengkaji organisma berkenaan ‘kami boleh mengelak melepasi nilai ambang yang membawa kepada penghapusan kemanusiaan dan bentuk kehidupan lain,’ tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...