ANKARA, 11 NOV – Beberapa eksekutif tertinggi meletak jawatan daripada Twitter di tengah-tengah potensi risiko yang berpunca daripada pengambilalihan syarikat media sosial itu oleh jutawan Elon Musk, yang melaksanakan dasar baharu, kata bekas pekerja pada Khamis.
“Saya membuat keputusan yang sukar untuk meninggalkan Twitter,” kata ketua pegawai keselamatan maklumat, Lea Kissner pada Khamis menerusi akaun peribadinya.
“Saya berpeluang untuk bekerja dengan orang yang hebat dan saya sangat berbangga dengan privasi, keselamatan dan pasukan IT serta kerja yang telah kami lakukan,” katanya yang dipetik agensi Anadolu.
Kissner meletak jawatan pada Rabu selepas beberapa eksekutif tertinggi syarikat itu, termasuk ketua pegawai privasi dan ketua pegawai pematuhan, menurut laporan yang menyebut beberapa pekerja di unit privasi dan keselamatan syarikat itu juga telah meletak jawatan.
Beberapa pekerja turut meletak jawatan kerana bimbang mengenai potensi pendedahan terhadap undang-undang firma itu kepada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) selepas pengambilalihan Musk dan kegawatan kewangan yang mungkin dihadapi Twitter.
Ia juga melaporkan bahawa seorang pekerja, dalam mesej dalaman, menulis bahawa keutamaan Musk adalah ‘mendapatkan balik’ kerugian yang dialaminya selepas terpaksa membeli Twitter membabitkan sejumlah AS$44 bilion walaupun beliau mahu menarik diri daripada perjanjian pembelian itu, menurut laporan.
Dalam e-mel pertamanya kepada kakitangan awal Khamis, Musk berkata kerja dari luar pejabat akan berakhir dan meminta pekerja supaya bersedia untuk berhadapan ‘masa sukar’ berikutan kelembapan ekonomi.
Minggu lepas Musk mengumumkan pemberhentian separuh daripada tenaga kerja dengan alasan syarikat itu kerugian AS$4 juta setiap hari. – Bernama