KUANTAN, 21 NOV – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) meneruskan Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan 2022 (CARAT 22) bermula hari ini hingga 30 November, selepas ia terhenti sejak 2018 berikutan pandemik.
Timbalan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor berkata eksesais dwitahunan bertemakan ‘Keselamatan Maritim’ itu, dilaksanakan di sekitar daerah ini dan perairan Laut China Selatan melibatkan anggota serta pegawai masing-masing daripada ATM seramai 303 orang dan TLAS (300).
Beliau berkata eksesais itu bertujuan mengukuhkan hubungan tentera kedua-dua negara selain meningkatkan keupayaan tempur dan perkongsian keselamatan maritim selaras dengan undang-undang, norma serta piawaian antarabangsa.
“Seperti yang dipersetujui, Keselamatan Maritim telah dipilih sebagai satu konsep yang luas bagi eksesais tahun ini.
“Walaupun kami menyedari hakikat bahawa tiada definisi sebenar di peringkat antarabangsa mengenai istilah tersebut, secara umumnya ia digunakan bagi menggambarkan cabaran sedia ada mahupun baharu di serantau dan antarabangsa terhadap keselamatan serta kedaulatan dalam kawasan maritim.
“Dalam hal ini, isunya berkisar tentang kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut, penyeludupan dan pengedaran dadah, keselamatan pelabuhan serta perang atau risiko perang.
“Bagi memastikan kita bersedia menghadapi perkara tidak dingini itu, kita memerlukan latihan dan Siri Latihan CARAT adalah antara platform penting yang membantu dalam meningkatkan kapasiti untuk kita berbuat demikian,” katanya dalam ucapan perasmian di Pusat Peperangan Bersama Kem Al-Sultan Abdullah. – Bernama