BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Eksesais MAJU BERSAMA Siri 24/2020 yang bermula dari 30 Januari berakhir hari ini dengan upacara penutupan yang diadakan di FIBUA Village, Penanjong Garison.
Hadir menyempurnakan upacara penutupan tersebut ialah Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar Jeneral Goh Si Hou dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Markas TDDB, pegawai-pegawai pemerintah batalion dan wakil daripada Tentera Darat Singapura.
Upacara tersebut dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan, penyerahan balik bendera kepada Kompeni C, 3 SIR, diikuti dengan ucapan penutup dan diakhiri dengan pertukaran cenderahati dan sesi bergambar ramai.
Terdahulu, upacara tersebut juga turut diisikan dengan demonstrasi serangan akhir yang mempamerkan serangan bersepadu bagi menumpaskan pihak musuh dan penggunaan aset-aset dalam melaksanakan misi serangan bersama untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

Eksesais berkenaan melibatkan 121 anggota daripada 3rd Battalion Singapore Infantry Regiment (3 SIR) Tentera Darat Republik Singapura dan 123 anggota daripada Kompeni B, Batalion Pertama TDDB (1Bn TDDB) diketuai oleh Mejar Yusddy Affenddy bin Haji Amran.
Eksesais tersebut juga dilihat terus menjadi landasan penting bagi mengukuhkan diplomasi pertahanan dan kerjasama ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Selain itu, ianya juga membolehkan pengintegrasian kedua-dua tentera dalam pergerakan di atas tanah untuk meningkatkan kerjasama antara kedua belah pihak serta memberi peluang untuk melatih dan meningkatkan kemahiran anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan operasi infantri.




























