Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksesais MALBRU Setia, Mertak Bersatu tingkat keupayaan TDDB, TDM

    KEM SRI MIRI, SARAWAK, 21 Okt – Bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam melaksanakan latihan bersama berpandukan kesesuaian prosedur tetap operasi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, dua eksesais iaitu Eksesais MALBRU Setia siri 14/2018 dan Eksesais Mertak Bersatu Siri 11/2018 telah dirasmikan baru-baru ini, masing-masing di Padang Kawad 20 RAMD, Kem Sri Miri, Sarawak Malaysia dan di Kota Belud, Sabah.

    Kedua-dua upacara pembukaan rasmi eksesais itu telah dihadiri oleh Timbalan Pemerintah TDDB, Kolonel Haji Damit bin Haji Bakar dan Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw selaku tetamu kehormat.

    Menurut kenyataan yang diterima dari Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam, hari ini, Eksesais MALBRU Setia yang bermula pada 19 Oktober dan berakhir 27 Oktober ini melibatkan seramai 118 anggota Kompeni C, Batalion Kedua TDDB, yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kompeni A, Batalion Kedua TDDB, Mejar Mohammad Hishamuddin bin Marzoki dengan Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

    Latihan berasaskan fasa ofensif iaitu mara dan serangan dengan pergerakan dimulakan dari kawasan Bekenu yang mana serangan akhir akan dilaksanakan di Ladang SOP Galah.

    Terdahulu, upacaranya dimulakan dengan pemasangan toha yang disampaikan oleh Timbalan Pemerintah TDDB kepada pengarah latihan, ketua pelaku biru dan ketua musuh, manakala Panglima Medan Timur TDM menyampaikan kepada ketua wasit.

    Upacara diteruskan lagi dengan ucapan daripada Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw diikuti dengan pertukaran cen-derahati, doa dan sesi bergambar ramai.

    Manakala, Eksesais Mertak Bersatu yang dirasmikan kelmarin sudah pun bermula pada 16 Oktober lalu dan akan berakhir pada 27 Oktober ini lebih berasaskan fasa konvensional dengan pengunduran dan menembak peluru hidup mortar di tapak tembak Lapang Sasar Udara (LASARUD).

    Eksesais itu melibatkan gabungan Platun Mertak daripada tiga unit TDDB seramai 107 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kompeni Memerintah, Batalion Kedua TDDB, Mejar Azaman bin Haji Hussin dengan gabungan daripada 3 Briged, 5 Briged dan 9 Briged dari TDM.

    Kedua-dua eksesais itu dilaksanakan dengan matlamat memantapkan keupayaan anggota tentera kedua-dua belah pihak selain meningkatkan kesefahaman dan kerjasama serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan masing-masing.

    Kolonel Haji Damit dan Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw bertukar-tukar cenderahati selepas merasmikan kedua-dua eksesais antara TDDB dan TDM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda