Eksesais Mallee Bull tutup tirai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Upacara Penutup bagi Eksesais Mallee Bull 2018 yang melibatkan anggota-anggota daripada Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB) dan Kumpulan Latihan 2/30 Tentera Diraja Australia telah diadakan di kawasan Hutan Benutan, Tutong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, upacara penutup itu dirasmikan oleh Ketua Staf TDDB, Kolonel Khairil bin Haji Ismail dan Komander Briged ke-13 Tentera Diraja Australia, Brigedier Peter Moore.

Turut hadir di upacara berkenaan ialah Timbalan Ketua Misi, Caroll Allnut; Penolong Penasihat Pertahanan, Leftenan Kolonel Daniel Hauser; dan Pegawai Pemerintah 2Bn TDDB, Leftenan Kolonel Pengiran Mohammad Shamsul Reza bin Pengiran Dato Paduka Haji Tengah.

Eksesais yang diadakan pada 7 hingga 17 Disember itu, melibatkan seramai 28 orang anggota daripada Kumpulan Latihan 2/30, Tentera Darat Australia yang diketuai oleh Leftenan Mark Vincent Vele serta 60 orang anggota dan tiga pegawai daripada Kompeni B, 2Bn TDDB diketuai oleh Kapten Abdul Hakim bin Arifin.

Eksesais itu diadakan di Kampung Benutan dan dijalankan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama ialah Pentadbiran dan Force Integration Training (FIT), fasa kedua ialah Operasi Menari dan Memusnah serta fasa terakhir ialah Pentadbiran dan Rekreasi.

Anggota tentera yang mengikuti Eksesais Mallee Bull mengadakan perbarisan semasa upacara penutup yang berlangsung di kawasan Hutan Benutan, Tutong, baru-baru ini. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan

Eksesais Mallee Bull 2018 terus menjadi landasan penting bagi mengukuhkan diplomasi pertahanan dan kerjasama ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia.

Ia juga membolehkan pengintegrasian kedua-dua tentera dalam pergerakan di atas tanah untuk menaik taraf kerjasama di antara kedua belah pihak serta memberi peluang untuk melatih dan meningkatkan kemahiran anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan operasi infantri.

Sebelum ini, Eksesais Mallee Bull telah diadakan pada tahun 2010.