Ekspedisi 2,000km Nissan mengujakan

Oleh Rafidah Jumat

Gambar serahan Nissan

Nissan merupakan jenama yang tidak asing lagi dalam industri permotoran malah ia antara jenama yang aktif dalam mengeluarkan model kenderaan terbaharu atau yang dinaiktaraf.

Syarikat pengedar Nissan Thailand pada hujung Februari 2020 lalu telah mengundang 78 pengamal media di seluruh Asia Tenggara untuk menyertai kembara uji pandu media selama lapan hari tujuh malam sekali gus menjadikan pemanduan sejauh lebih dari 2,000 kilometer di seluruh Malaysia itu sebagai suatu pengalaman yang mengujakan.

Kembara uji pandu itu turut disertai dua orang blogger dari Brunei Darussalam.

Uji pandu media ‘Go Anywhere’ menghadiahkan pengalaman buat media untuk menguji dan mengetahui keupayaan, keselesaan dan kecanggihan tiga kenderaan dari ‘keluarga’ Nissan iaitu Terra, Navara dan X-Trail dalam mengendalikan kenderaan pacuan empat roda tanpa mengira keadaan permukaan sama ada di jalan tidak berturap, mendaki atau menuruni bukit atau melalui jalan berbatuan di Malaysia,” kata Presiden Nissan Thailand, Ramesh Narasimhan.

Pengamal media diberi kesempatan secara bergilir-gilir untuk menguji keupayaan ketiga-tiga kenderaan ini di beberapa destinasi terpilih di Malaysia termasuk meredah kesibukan kota raya dan memandu di kawasan luar bandar yang mempunyai laluan sempit dan berliku.

Gambar ramai pengamal media yang menyertai ekspedisi itu di salah sebuah kawasan persinggahan di Malaysia.
Deretan kereta jenama Nissan yang dipandu oleh pengamal media dalam Ekpedisi Go Anywhere.
ATAS & BAWAH : Pemanduan termasuklah menguji keupayaan kereta Nissan melalui off-road dan on-road.

‘Go Anywhere’ Malaysia ini bermula dengan menyusuri lebuh raya dari Hat Yai, Thailand ke sempadan Sadao di mana kenderaan memasuki Malaysia di Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Jerai, Kellie’s Castle dan Kuala Lumpur.

Kumpulan kedua kembara media pula memandu dari Kuala Lumpur ke Kuantan melalui Putrajaya dan bandar Melaka sementara kumpulan terakhir membuat perjalanan dari Kuantan melalui Kuala Terengganu ke Pulau Pinang seterusnya ke sempadan Sadao menuju ke Hat Yai, Thailand.

Ketiga-tiga model kenderaan Nissan ini berupaya memberi pengalaman pemanduan dan pengendalian selesa selain menawarkan pemanduan yang selamat sepanjang perjalanan tanpa mengira apa jua jenis permukaan jalan bahkan melancarkan pecutan di atas permukaan jalan yang berturap, mengekalkan kestabilan ketika membuat pusingan tajam dan memiliki kuasa pacuan empat roda untuk meredah laluan ‘off-road’.

Modal Nissan ini mempunyai enjin yang berkuasa, memberi prestasi pecutan yang luar biasa dan terbukti sempurna di kawasan yang mencabar, terutamanya permukaan jalan kasar dan tidak rata.

Sementara fungsi ‘shift-on-the-fly’ membenarkan pemandu untuk beralih dari pemanduan pacuan dua roda (2H) ke pacuan empat roda (4H) untuk perjalanan yang lebih selamat ketika merentasi keadaan permukaan jalan yang licin.

Mod pacuan empat roda (4LO) dengan kelajuan perlahan membantu melancarkan pengendalian dalam laluan yang mencabar seperti melalui jalan berpasir dan berlumpur, menyeberangi sungai, jalan berbatuan atau mendaki dan menuruni bukit.

Peserta juga mengambil peluang untuk menggunakan sistem kawalan jelajah atau control cruise yang berfungsi mengawal halaju kereta semasa membuat pemanduan di lebuh raya atau dalam keadaan lalu lintas yang sesak sementara sistem brek enjin aktif bertindak mengurangkan kelajuan ketika mengambil selekoh dan kembali memecut sebaik pusingan dibuat.

Tidak cukup dengan itu, kenderaan ini juga dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility dan ciri-ciri keselamatan seperti Padanan Monitor Penglihatan Sekeliling 360 darjah (untuk kenderaan Nissan Terra dan Nissan X-Trail) yang memberi pemandu pandangan lengkap semua sudut di sekeliling kereta sekali gus memudahkan pengendalian pemanduan di kawasan sempit.

Fungsi Hill Start Assist (HSA) dan Hill Descent Control (HDC) pula menghalang kenderaan daripada tergelincir semasa menaiki atau menuruni bukit manakala teknologi utama lain yang digunakan semasa pemanduan termasuk Vehicle Dynamic Control (VDC), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Lane Departure Warning (LDW).

Peserta turut dibawa off-road meredah laluan berlumpur untuk menguji sejauh mana kehebatan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), dan ternyata sistem ini membantu mengesan tayar tergelincir dan kurang cengkaman.

Apabila tayar tergelincir dikesan, TCS secara automatik menggunakan brek untuk memulihkan cengkaman dan memastikan kenderaan dikawal dan bergerak ke hadapan.

Meter off-Road juga memainkan peranannya, memaparkan maklumat pemanduan penting termasuk sudut kecondongan semasa memandu off-road.

Sistem pemanduan satelit canggih membantu pemandu menyediakan laluan harian lebih awal, memberikan panduan bagaimana melalui hutan hujan tropika dan bandar-bandar di Malaysia.

Dengan adanya sistem pengiktirafan suara, ia membolehkan pemandu mencari lokasi dengan hanya mengenali suara (untuk kenderaan Nissan Terra).

Nissan juga menawarkan gabungan terbaik sistem dalam satu paparan digital, yang direka khusus untuk mengurangkan gangguan di mana info pemanduan dan sistem hiburan lebih mudah dicapai.

Menurut Narasimhan, memandu uji modal Nissan ini memberi kepuasan kepada pihak media yang telah melalui jalan-jalan di Malaysia sama ada di bandar-bandar, sekitar bukit atau hutan hujan.

Memiliki penampilan lasak, kenderaan ini sesuai untuk pemanduan terutama ketika pergi dan balik dari Gunung Jerai di mana pecutan di jalan berturap, cengkaman tayar di selekoh tajam dan keupayaan meredah off-road ternyata memberikan impak yang diperlukan.

Pemanduan yang mencabar ini memberi pihak media peluang untuk mengalami prestasi Nissan Terra, Navara dan X-Trail yang terbaharu ini, di mana ciri-ciri yang terdapat di dalamnya memberi keselesaan dan keselamatan sepanjang perjalanan sesuai dengan konsep gaya hidup Nissan Go Anywhere, tambah Narasimhan.