NEW DELHI – Sekumpulan penunggang motosikal Malaysia tiba di selatan India setelah mengembara sejauh 13,000 km, merentas enam buah negara semata-mata untuk menzahirkan semangat patriotik mereka sempena sambutan Hari Malaysia.
Kumpulan ini memulakan pengembaraan mereka dari Kuala Lumpur pada 8 Ogos dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mereka menamatkan perjalanan mereka pada 16 Sept dengan sama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia di pejabat konsulat Malaysia di Chennai, Tamil Nadu.
Konvoi Shadowfax Malaysia Motorcycle Club (Shadowfax MC) diketuai Datuk R. Muruga Nantham yang juga dikenali sebagai Datuk Anand tiba di India selepas mengembara melalui Thailand, Myanmar, Bhutan dan Nepal.
Di sepanjang perjalanan, mereka berpeluang beramah-tamah dengan masyarakat tempatan daripada pelbagai latar belakang di samping menikmati keindahan alam sekeliling. Kumpulan ini juga sempat membuat sumbangan kewangan kepada beberapa buah pertubuhan sukarelawan yang terlibat dalam kerja kebajikan.


Pernah mengembara
Anand serta rakan-rakannya sebelum ini pernah melakukan pengembaraan di negara asing tetapi kembara merentas enam buah negara Asia ini yang dipanggil “Tunggangan Merdeka” dianggap sebagai pengalaman yang unik kerana ia melibatkan pelbagai kebudayaan dan peraturan.
“Semua orang yang kami jumpa begitu baik dan peramah. Ada yang terkejut apabila mengetahui kami menunggang motosikal dari Malaysia. Mereka mengambil gambar dengan kami dan ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa tempat,” Anand memberitahu Bernama sewaktu singgah di Delhi.
Kumpulan ini menyertai sambutan Hari Kebangsaan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia pada 31 Ogos lepas bersama kumpulan penunggang motosikal, Capital Chapter of Harley Owners Group.
Kelab motosikal Malaysia ini turut menerima sokongan daripada pelbagai kelab motosikal apabila mereka tiba di Chennai.
Hampir separuh daripada perjalanan sejauh 13,000km itu merentas negeri-negeri di India iaitu Nagaland, Assam, Bengal Barat, Uttar Pradesh, Delhi, Rajasthan, Madhya Pradesh, Maharashtra, Kerala dan Tamil Nadu.
Boleh dikatakan anggota kelab ini tidak menghadapi banyak masalah sepanjang perjalanan mereka kerana membuat perancangan rapi serta mempunyai kenalan dengan penunggang motosikal lain di tempat-tempat utama.
“Cuma dari Myanmar ke Nepal ada masalah sebab hujan lebat, tanah runtuh dan banjir,” kata Anand yang menambah jalan raya yang berlumpur di kedua-dua negara benar-benar menguji daya tahan mereka.
Pengembaraan di India agak lancar dan di sesetengah tempat mereka mendapat bantuan polis pengiring.

Ada satu ketika kumpulan ini hampir terpaksa membatalkan rancangan pengembaraan apabila motosikal seorang anggota kelab rosak di Kathmandu. Ketika motosikal itu diangkut ke Delhi dengan menggunakan trak, mereka tidak dapat menghubungi pemandu berkenaan selama 24 jam.
Mereka kemudiannya menghubungi polis Lucknow, ibu negara Uttar Pradesh. Akhirnya, Jabatan Pengangkutan di negeri utara Haryana berjaya mengesan pemandu trak berkenaan. Rupanya bateri telefon pemandu itu tidak berfungsi dan menyebabkan beliau tidak dapat dihubungi.
Sekumpulan jurutera Harley Davidsson berjaya membaiki kerosakan motosikal itu.
“Jurutera itu terpaksa membaiki keseluruhan enjin dan pasukan Harley Davidson di India memang hebat dan mereka berjaya melakukannya dalam masa 12 jam,” kata Anand.
Adanya kerjasama
Kerumitan menyeberangi sempadan dengan motosikal dipermudahkan dengan bantuan pengisian dokumen kastam antarabangsa dan eksport-import (Carnet or ATA Carnet) yang membenarkan kemasukan barangan bebas cukai ke negara anggota tanpa membayar duti.
Menurut kumpulan ini antara yang turut memberi sokongan kepada program kembara mereka ialah Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran.
Anand turut berkata, pengembaraan beliau dan anggota kelab yang lain dipermudahkan menerusi jaringan kerja dengan orang serta kumpulan lain.
Perancangan yang rapi, kesihatan yang baik serta mengambil beberapa suntikan menyumbang kepada kejayaan progran kembara berkenaan.
Menurut Anand, setiap penunggang motosikal membelanjakan sekitar AS$20,000 untuk pengembaraan selama enam minggu itu. Kelab ini turut menggunakan media sosial serta halaman Facebook untuk merekodkan setiap detik perjalanan mereka. – Bernama