Oleh Lenna N.B.
CABARAN melalui jalan yang sempit,dan berselekoh, dengan ketinggian mencecah 2,500 kaki dari paras laut, para penunggang motosikal berpeluang untuk menyaksikan keindahan seni bina bangunan desa Colmar, Perancis seolah-olah mengembara di sebuah negara yang sejuk di Eropah.
Pengembaraan jelajah Semanjung Malaysia itu berlangsung selama lima hari di mana ia merupakan ekspedisi tanpa henti atau dikenali dengan istilah hardcore ride.
Antara lokasi-lokasi penjelajahan adalah Bukit Tinggi, Pahang, Bandar Bersejarah Melaka, Johor Bahru, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kangar, Perlis, dan Kuala Lumpur yang melibatkan sejumlah 18 orang ahli PEMODA.
Ekspedisi kekeluargaan
Sekitar Disember 2016, Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) dengan kerjasama Tourism Malaysia (Brunei) telah mengungkayahkan aktiviti Jelajah 1 Semenanjung atau dalam istilah Inggerisnya, ‘The 11 State Ride’ yang melibatkan ekspedisi bermotosikal bersama keluarga menjelajahi Semenanjung Malaysia.
Ia merupakan ekspedisi pertama PEMODA yang berkonsepkan kekeluargaan dan telah direncankan untuk berlangsung selama 10 hari iaitu bermula dari 6 Disember 2016 hingga 15 Disember 2016.
Malah, para peserta juga turut hadir memeriahkan Sambutan Ulang Tahun ke-8 Kuala Lumpur Bike Week 2016 yang telah diadakan di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ekspedisi ini merupakan projek dua hala yang dipertanggungjawabkan kepada ahli PEMODA untuk memperkenalkan Negara Brunei Darussalam kepada penduduk Malaysia, dan pada masa yang sama memperkenalkan lokasi-lokasi perhentian sepanjang program Jelajah Semenanjung Malaysia kepada warga Brunei.
Di samping itu, program ini juga melibatkan kunjungan hormat ke kelab-kelab dan persatuan motorsikal berkuasa tinggi di daerah-daerah sekitar Semenanjung Malaysia.
Ekspedisi kekeluargaan ini diketuai oleh Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad yang turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kedutaan Brunei di Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Brunei Darussalam.
Ahli keluarga para peserta PEMODA juga turut ikut serta dalam ekspedisi ini, yang merangkumi seramai 36 orang telah berlepas ke Kuala Lumpur pada 5 Disember 2016.
Jelajah 1 Semenanjung Malaysia ini secara tidak langsung membawa ahli-ahli PEMODA untuk menyaksikan sendiri kekayaan budaya masyarakat yang pelbagai, termasuklah menikmati pelbagai menu masakan tradisi sekitar Semananjung.
Cabaran ekspedisi
Dalam memastikan kelancaran projek ekspedisi ini, para peserta PEMODA telah pun melakukan persiapan rapi bersama ahli keluarga. Mereka dipastikan untuk mempunyai kecekapan dan kecergasan di tahap yang tinggi, sentiasa siap siaga dan tahan lasak. Apatah lagi penjelajahan yang berunsurkan hardcore ride ini menguji ketahanan fizikal dan mental.
Namun begitu, pengembaraan mereka telah tertangguh pada lima hari terawal kerana ahli-ahli PEMODA yang terkandas beberapa hari di Kuala Lumpur. The 11-State Ride yang dirancang berlangsung selama 10 hari terpaksa dipadatkan dalam masa lima hari. Pengembaraan dilakukan tanpa henti bermula pada 11 Disember 2016.
Pengalaman di sepanjang ekspedisi
Acara bermula dengan perkumpulan ahli-ahli PEMODA di PNB Perdana Hotel & Suites yang dihadiri oleh Duta Besar Brunei di Malaysia. Tepat jam 2.00 petang, penunggang-penunggang motosikal PEMODA bersama ahli keluarga mereka bertolak ke destinasi pertama, iaitu Bukit Tinggi, Pahang.
Walaupun ekspedisi tersebut agak mencabar, ahli-ahli PEMODA tetap berkesempatan untuk menikmati suasana yang sejuk dan tenang menuju ke puncak Bukit Tinggi.
Perjalanan itu mengambil masa selama kira-kira satu jam, diserikan dengan pelbagai bentuk seni bina yang berkonsepkan Eropah, tempat peranginan bertemakan Perancis, dihiasi dengan ladang arnab, perkampungan Jepun dan Taman Kembara.
Pada hari kedua pula, rombongan PEMODA memulakan ekspedisi kira-kira jam 12 tengahari dengan mengembara ke bandar bersejarah, Melaka.
Walaupun di bawah matahari yang terik, namun mereka tetap bersemangat waja untuk menjelajahi bandar Melaka sebelum menuju ke Johor Bahru.
Perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan begitu indah dengan adanya kehijauan hutan yang diselang-selikan dengan ladang-ladang. Pengembaraan hari kedua berakhir kira-kira jam 8.00 malam.
Pada hari ketiga, penjelajahan bermula sekitar jam 8 pagi, dari Johor Bahru menuju ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang merangkumi perjalanan sepanjang 725km.
Sebelum perjalanan bermula, rombongan PEMODA berkesempatan melakukan senam aerobik untuk kecergasan mental dan fizikal.
Di cuaca yang panas, rombongan melewati kawasan Kota Tinggi, Mersing dan Endau yang berhampiran dengan pinggir laut.
Sewaktu menuju ke Kelantan, mereka juga berkesempatan untuk singgah di Gerai Kak Zai di Rompin, Masjid Kristal di Kuala Terengganu dan sebagainya. Pengembaran itu hanya berakhir kira-kira jam 2 pagi di Hotel Grand River View, Kota Bahru, Kelantan.
Pengembaraan pada hari ke empat pula adalah merentasi negeri Perak dan Kedah hingga sampai ke Pulau Pinang iaitu dengan jarak jauh perjalanan 428 km.
Walaupun ekspedisi ini mempunyai jarak jauh yang lebih singkat daripada sebelumnya, namun perjalanan agak mencabar kerana keadaan jalanraya yang banyak selekoh dan ada kalanya, terdapat haiwan-haiwan liar.
Sepanjang perjalanan, rombongan PEMODA dibekalkan dengan kewaspadaan yang tinggi agar mereka selamat sampai ke destinasi. Sebelum bertolak, mereka juga sempat menyaksikan persembahan kebudayaan daripada masyarakat Kelantan, dikelolakan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negari Kelantan.
Antara yang menarik sepanjang perjalanan adalah kemunculan gajah-gajah sekitar pengembaraan, melalui jambatan 24 km iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang baru dibina menghubungkan Seberang Perai dan Batu Maung, merupakan sebuah jambatan yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara, serta banyak lagi pengalaman-pengalaman penjelajahan yang menyeronokkan.
Pada hari terakhir, pengembaraan misi Jelajah 1 Semenanjung telah tercapai dengan jayanya apabila rombongan motorsikal Pemoda selamat sampai ke Kuala Lumpur setelah singgah ke Kangar, Perlis.
Pengalaman sepanjang lima hari tersebut, walaupun singkat tetapi ternyata meninggalkan kesan yang sangat tinggi buat peserta jelajah, yang mengembara sekitar Malaysia hanya menggunakan motosikal.
Atas kejayaan itu, rombongan PEMODA telah menyatakan setinggi-tinggi penghargaan mereka kepada pihak-pihak yang bekerjasama, dan mendukung mereka dalam menjayakan projek jelajah tersebut.
Angin sepoi-sepoi dan menghayati tempat-tempat menarik sekitar Semenanjung cukup menjadi pengubat keletihan mereka sepanjang ekspedisi.