Ekspedisi pertama ukur ketinggian Everest

BEIJING, 27 MEI – Sekumpulan juruukur China hari ini menjadi kumpulan pertama pada tahun ini untuk mendaki Gunung Everest, di mana mereka akan cuba mengenal pasti ketinggian gunung tertinggi di dunia itu dengan menggunakan teknologi satelit.

Ekspedisi itu adalah yang pertama diadakan pada tahun ini untuk sampai ke kemuncak gunung selepas China dan Nepal pada Mac menggantung musim pendakian musim bunga disebabkan kebimbangan koronavirus. Ia masih digantung sekarang.

Ketinggian sebenar gunung itu, yang terletak di sempadan China-Nepal, masih menjadi isu perdebatan.

Tinjauan terbaharu China pada 2005 mengukur kemuncak pada 8,844.43 meter, tidak termasuk salji dan air batu di kemuncak, sementara angka rasmi Nepal termasuk mercu bersalji Everest dan adalah empat meter lebih tinggi.

Juga timbulnya spekulasi mengenai sama ada peristiwa seismik terbaharu, terutamanya gempa bumi 2015 di Nepal, telah menjejas ketinggian gunung.

Agensi berita Xinhua telah menganggap ekspedisi sebagai satu peluang untuk mencatat ukuran tepat, berkata peralatan ukur akan mengeluarkan isyarat di luar satelit China dan ‘peralatan mengukur dan memeta canggih lain’ juga akan digunakan.

Masih tidak jelas bila keputusan mengukur akan dikeluarkan, tetapi China dan Nepal bersetuju pada tahun lalu akan mendedahkan hasil dapatan dalam satu pengumuman bersama. – AFP

Gambar fail menunjukkan juruukur dan pendaki China bersedia untuk meninggalkan pangkalan kem bertujuan mengenal pasti ketinggian Gunung Everest. – AFP