Sunday, October 2, 2022
33.3 C
Brunei

Eksploitasi industri khat, penguatkuasaan lemah?

-

KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia amat memandang serius penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam sebarang bentuk termasuk untuk tujuan seni seperti kaligrafi atau khat yang dijual kepada umum.

Komitmen ini diterjemahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang antara peranannya adalah menjaga ketenteraman awam merangkumi sensitiviti agama. Justeru, industri khat yang diakui oleh pakar sebagai perusahaan bernilai tinggi, antara fokus KDN yang bukan sahaja mahu membendung eksploitasi tetapi juga memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Ketegasan KDN dicerminkan oleh 28,337 operasi yang dilakukannya menerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) bagi tempoh 2019 hingga April 2022, dengan 111,163 unit merangkumi teks dan produk yang menggunakan ayat al-Quran dirampas, bernilai kira-kira RM5 juta.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 575 kertas siasatan dibuka, membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.

Bercakap kepada Bernama, Penolong Setiausaha Seksyen Regulatori al-Quran dan Hadith di Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Mohd Farid Hadi Sharif berkata sebarang kesilapan dalam penulisan ayat Al-Quran atau tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah APTQ 1986.

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia amat memandang serius penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam sebarang bentuk termasuk untuk tujuan seni seperti kaligrafi atau khat yang dijual kepada umum. – Agensi

“KDN melalui LPPPQ mempunyai Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran (Lajnah Tashih Al-Quran) yang bertanggungjawab menangani isu sebegini. “Antara fungsi Lajnah ialah menyemak semua teks atau bahan Al-Quran serta produk yang mengguna pakai ayat Al-Quran, khususnya perkara-perkara yang termaktub di bawah APTQ 1986,” katanya.

Kesalahan utama
Beliau tidak menafikan banyak karya khat ayat Al-Quran dikesan mengandungi pelbagai kesalahan berdasarkan hasil operasi bersepadu di bangunan dan premis perniagaan yang dijalankan KDN, walaupun telah ada garis panduan lengkap tentang pembuatan dan penulisan khat ayat al-Quran yang dikeluarkan oleh LPPPQ.

Antara kesalahan utama yang sering dikenal pasti ialah kalimah dan ayat Al-Quran yang ditulis tidak lengkap ataupun sempurna serta tulisan yang tidak boleh dibaca dan mengelirukan pembaca.

“Terdapat juga kesalahan lain seperti kesilapan menulis pada huruf surah atau nombor ayat Al-Quran selain ada pengkarya yang menulis khat Al-Quran berbentuk mahkluk bernyawa atau sebarang bentuk yang boleh menjatuhkan kesucian al-Quran.

“Ini antara karya yang sering disita ketika operasi selain penulisan khat Al-Quran yang disambungkan atau dicampur aduk dengan apa-apa ayat atau tulisan lain termasuk hadis, kata-kata ulama dan sebagainya,” kata beliau.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Farid Hadi berkata bagi kesalahan melakukan pencetakan teks atau bahan al-Quran yang mengandungi kesilapan ejaan, mereka boleh didakwa menurut Seksyen 14(1) APTQ 1986 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Lantaran itu, kesemua aktiviti berkaitan pembuatan karya seni khat perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan seperti individu yang terlibat dalam pembuatan khat Al-Quran hendaklah orang Islam, dan mereka ini termasuk yang menulis, mengukir, me-reka bentuk, mencetak dan sebagainya.

Selain itu, sebarang aktiviti membabitkan khat Al-Quran hendaklah dilakukan di tempat bersih dan terkawal daripada pencemaran najis selain proses pembuatan perlu menggunakan bahan dan alatan yang bersih serta suci mengikut hukum syarak.

Panduan pembuatan karya
“Sebenarnya tiada masalah untuk menghasilkan produk khat Al-Quran pada kulit binatang kerana ini dibolehkan oleh syarak. Namun menjadi haram apabila menggunakan kulit binatang babi dan anjing.

“Selain itu, turut dilarang menulis atau melukis khat Al-Quran pada badan manusia atau haiwan. Bahan yang digunakan mestilah yang berkualiti, sesuai ketahanan, tidak mudah rosak, supaya tulisan khat tidak mudah hilang atau tertanggal huruf, baris atau titiknya,” jelasnya.

Beliau berkata bagi jenis tulisan khat yang sukar dibaca seperti Kufi Murabba’ (kufi petak) hendaklah disertakan sekali khat Nasakh (penulisan khat dengan bentuk karakter bahasa Arab yang jelas dan mudah dibaca) bersaiz kecil di bawah karya tersebut bagi memudahkan pembacaan.

Bagi penulisan khat Al-Quran pada dinding bangunan, papan iklan, kain rentang dan lain-lain pula, karya perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan seperti pihak berkuasa agama negeri untuk kelulusan.

Menurut Mohd Farid Hadi, KDN juga mengeluarkan satu garis panduan khas pelupusan cetakan teks atau bahan Al-Quran kepada semua pengusaha, pengilang, pekerja dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab melulus serta mengawal aktiviti pelupusan bahan penerbitan dan perhiasan mengandu-ngi ayat suci Al-Quran.

Antara yang dijelaskan dalam garis panduan itu ialah prosedur pelupusan, ciri-ciri mesin insinerator, bilik penyimpanan, adab dan juga etika pengendalian aktiviti pelupusan teks Al-Quran.

Penjualan dalam talian
Sementara itu, jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata pihaknya mempunyai kuasa di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang tersebut termasuk penjualan karya khat Al-Quran secara dalam talian.

Jelasnya, peraturan itu merupakan perundangan subsidiari di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan perdagangan elektronik (atas talian).

“Peraturan ini mewajibkan peniaga mendedahkan lapan maklumat utama ketika urus niaga dalam talian dijalankan di antara peniaga dan pembeli, iaitu nama peniaga, nombor pendaftaran perniagaan, alamat e-mel, nombor telefon, ciri utama barang atau perkhidmatan, harga barang termasuk kos penghantaran, kaedah pembayaran, terma atau syarat dan anggaran masa penghantaran.

“Maklumat ini perlu didedahkan peniaga untuk memudahkan pengguna membuat pilihan, mendapatkan maklumat tambahan dan berkomunikasi dengan peniaga sekiranya pengguna memerlukan penjelasan lanjut supaya mereka tidak rasa diperdaya,” jelasnya, menambah kegagalan mematuhi peraturan itu akan dikenakan tindakan tegas oleh KPDNHEP.

KPDNHEP juga sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas syarikat, platform dan penyedia tapak pasar dalam talian bagi memastikan pematuhan tinggi perundangan yang ditetapkan.

Selain itu, maklumat utama tersebut juga akan memudahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP mengambil tindakan kepada peniaga sekiranya ada aduan mengenai mereka dikemukakan oleh pengguna.

Peniaga yang disabitkan kesalahan menurut Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan pula, ia boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Buat aduan
“Pengguna juga harus bijak dan sentiasa berhati-hati ketika membuat pembelian atau transaksi secara dalam talian, contohnya tidak meneruskan pembelian sekiranya mendapati ada unsur penipuan tetapi terus laporkan kepada pihak berkuasa.

“Bagi yang tertipu, pengguna boleh membuat tuntutan kerugian tersebut daripada penjual menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna dengan membuat pemfailan tuntutan di mana-mana pejabat KPDNHEP negeri atau secara dalam talian,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -