Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Eksplorasi mengujakan di Gua Niah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Pasti ramai dalam kalangan masyarakat dan penduduk di negara ini pernah mendengar sebuah gua batu kapur terbesar di dunia iaitu Gua Niah yang kaya dengan sejarah dan kelebihannya yang terletak di Miri, Sarawak.

    Meskipun lokasinya berdekatan dengan negara kita, namun ramai juga masyarakat kita masih belum pernah menjejakkan kaki ke gua ini. Malah ramai warga Sarawak yang tinggal berhampiran juga ada yang belum pernah melawat ke sana.

    Baru-baru ini, ahli-ahli Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam yang menyertai rombongan lawatan pengenalan dua hari ke Miri, Sarawak yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam telah berpeluang mengadakan pengembaraan ke Taman Negara Niah di mana terletaknya Gua Niah.

    Perjalanan yang mengambil masa kurang dari dua jam dari Pusat Bandar Miri menggunakan bas tidaklah terasa begitu jauh disebabkan keadaan jalan raya yang boleh dikatakan baik dan menyelesakan, apa lagi keadaan jalan begitu lengang di pagi hari semasa menuju ke destinasi berkenaan.

    Kira-kira jam 6:45 pagi, ahli rombongan yang terdiri daripada perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam serta beberapa ahli keluarga mereka sudah berkumpul di lobi hotel penginapan bagi bersiap sedia membuat perjalanan ke Gua Niah.

    TYT Dato’ Raja Reza dan Hajah Latifah semasa bergambar ramai dengan ahli rombongan sebelum memulakan penerokaan di Taman Negara Niah.
    Antara suasana yang cukup menenangkan di sepanjang perjalanan di Taman Negara Niah tersebut.
    Antara ahli rombongan yang tidak melepaskan peluang bergambar ketika berada di dalam Gua Niah.
    Sebahagian ahli rombongan berkunjung ke Muzium Arkeologi Gua Niah.

    Keterujaan jelas tergambar pada wajah ahli rombongan bagi menyertai pengembaraan pertama kali mereka menjejakkan kaki ke gua tersebut.

    Bas rombongan yang dinaiki oleh lebih 30 orang penumpang mula bertolak pada 7 pagi dan sampai sekitar 8:40 pagi di Taman Negara Niah. Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan selanjutnya dibawa menuju ke ruangan pendaftaran di mana rombongan turut diberikan cenderahati sebelum memulakan penerokaan ke Gua Niah.

    Setelah selesai proses pendaftaran yang mengambil masa kurang dari 5 minit, rombongan turut diberi peluang mendengarkan taklimat keselamatan dan penerangan ringkas mengenai Taman Negara Niah daripada Warden Taman, January.

    Tidak jauh selepas memulakan penerokaan, terdapat sebuah muzium yang dinamakan sebagai Muzium Arkeologi Gua Niah berdekatan jeti yang menceritakan sejarah Taman Negara Niah.

    Selang beberapa minit berjalan kaki, rombongan sampai ke sebatang sungai yang memerlukan peneroka menggunakan bot yang disediakan di sana untuk menyeberangi sungai bagi meneruskan perjalanan menuju ke Gua Niah.

    Untuk menuju ke Gua Niah, ahli rombongan perlu meniti trek yang diperbuat dari kayu di mana setiap pengunjung hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah yang dilalui disebabkan keadaan titian kayu yang licin dan basah kerana cuaca hujan.

    Sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang satu jam itu, mereka dapat menikmati pemandangan alam, flora dan fauna yang cukup menenangkan jiwa.

    Sebelum sampai ke Gua Niah atau Great Cave, pengunjung akan terlebih dahulu sampai ke sebuah gua yang dinamakan sebagai Gua Dagang. Kenapa diberi nama sebagai Gua Dagang?

    Ia kerana suatu masa dahulu merupakan sebuah penempatan pedagang yang menjual sarang-sarang burung kepada penduduk luar dan ditukar dengan makanan dan barang keperluan lainnya untuk kelangsungan hidup mereka.

    Daripada keterangan yang diberikan dan menyaksikan sendiri Gua Niah itu, ternyata gua batu kapur terbesar dan tertua di dunia itu mengagumkan, mempunyai nilai-nilai bermakna yang mengisahkan sejarah awal manusia. Berdasarkan maklumat diperolehi penulis, ia terbentuk sebagai terumbu karang pada akhir Miosen sebelum berlakunya pergerakan bumi yang mengangkatnya dan dihakis membentuk gua.

    Dengan keluasan 12 hektar dan dianggarkan tiga kali padang bola sepak, tidak semua tempat sempat diterokai ahli rombongan.

    Setelah beberapa minit pendakian, rombongan sampai ke Lobang Kuala yang berukuran cukup besar dan tinggi. Bukan itu saja, perjalanan ke bahagian dalam gua turut mengambil masa lebih 15 minit dan menggunakan lampu suluh bagi memudahkan perjalanan.

    Setelah mengambil masa lebih kurang setengah jam menerokai keindahan dan persekitaran gua tersebut, rombongan beredar dan berpatah balik menuju ke Gua Dagang seterusnya kembali ke muzium.

    Bagi mereka yang mencintai alam dan sejarah sudah pastinya Gua Niah merupakan salah sebuah lokasi yang cukup sesuai untuk menghayati keindahan flora dan fauna, di samping menggali aspek-aspek sejarah yang terdapat padanya.

    Pengembaraan di Taman Negara Niah juga semestinya akan memberi pengalaman yang menarik, berharga, dan tidak mudah untuk dilupakan lebih-lebih lagi bagi pengalaman pertama menerokai gua.

    Sebelum beredar meninggalkan Taman Negara Niah, rombongan yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah turut berkesempatan menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran dan keselamatan ahli rombongan yang menyertai penerokaan ke Gua Niah pada hari tersebut.

    TYT Dato’ Raja Reza turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC)  yang banyak membantu seluruh rombongan pada kunjungan tersebut. Penganjuran lawatan pengenalan ke Miri tersebut turut disokong oleh Tourism Malaysia Brunei yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Hajah Latifah binti Dato Haji Ismail.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...