Ekspo Asia 2020 ditangguh tahun depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Ekspo Asia 2020 yang dijadualkan diadakan di Dewan Bridex, Jerudong pada 26 hingga 30 Ogos depan akan ditangguhkan kepada 29 September hingga 3 Oktober 2021 di tempat sama.

Cityneon selaku penganjur acara berkenaan, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menjelaskan bahawa penangguhan berkenaan adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam masyarakat menerusi perhimpunan ramai dan bagi mengikut nasihat Kementerian Kesihatan mengenai langkah-langkah pencegahan jangkitan di negara ini.

Penangguhan juga dibuat susulan maklum balas yang diterima daripada para peserta pameran yang berpotensi mengenai penjadualan kepada tarikh baharu, membolehkan para peserta pameran membuat persiapan lebih baik serta suasana dan masa yang lebih baik pada tahun depan.

Ia juga merupakan menjadi tanggungjawab sosial Cityneon untuk melindungi kesejahteraan semua orang secara keseluruhannya, tambah kenyataan.

Kenyataan menyatakan bahawa jawatankuasa penganjur akan meneruskan promosi ekspo berkenaan dan mengemas kini mengenainya.