Ekspo ‘Bah Kemari Tah’ sehingga 2 April

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 30 Mac – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lorong Tiga Selatan, melalui Biro Ekonomi kini sedang mengendalikan Ekspo ‘Bah Kemari Tah’ yang berlangsung bertempat di Padang Mini STKRJ Lorong Tiga Selatan, di sini, bermula hari ini hingga 2 April.

Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap dan dihadiri sama oleh Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

Ekspo empat hari tersebut dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 8 pagi hingga 6:30 petang, di mana di samping jualan, beberapa aktiviti sampingan seperti persembahan seni mempertahankan diri dan sebagainya juga akan turut menceriakan lagi suasana acara jualan itu.

Semasa ditemu bual Media Permata, Setiausaha MPK Lorong Tiga Selatan, Awang Hassan bin Haji Masri memberitahu, ekspo tersebut merupakan projek pertama kendalian Biro Ekonomi, setelah pelantikan baru ahli-ahli jawatankuasa MPK berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, ekspo tersebut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-30 Tahun 2017, di samping untuk membukakan peluang berniaga secara kecil-kecilan kepada kalangan ahli-ahli MPK dan penduduk kampung tersebut.Hampir 20 vendor menyertai ekspo tersebut yang juga dihasratkan sebagai salah satu usaha membuat kutipan bagi keperluan dana MPK berkenaan yang mana lima peratus daripada hasil ekspo akan dimasukkan ke dalam tabung MPK.

Antara ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Lorong Tiga Selatan bersama beberapa orang vendor yang menyertai ekspo.
Antara ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Lorong Tiga Selatan bersama beberapa orang vendor yang menyertai ekspo.
Antara vendor dan jenis jualan yang terdapat pada Ekspo ‘Bah Kemari tah’ yang diadakan di Padang Mini Lorong Tiga Selatan Seria.
Antara vendor dan jenis jualan yang terdapat pada Ekspo ‘Bah Kemari tah’ yang diadakan di Padang Mini Lorong Tiga Selatan Seria.

“Sambutan vendor sangat menggalakkan dan dalam projek awal Biro Ekonomi ini, telah mengenakan bayaran sewa $100 satu petak dengan penyediaan kemudahan elektrik.

“Ekspo ini bukan sahaja untuk mencari kewangan, tetapi juga untuk membangkitkan semangat kerjasama daripada penduduk kampung seperti kerja gotong-royong membersihkan padang pada setiap hari Jumaat, sehingga padang ini dapat dimanfaatkan untuk diadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Beliau juga memberitahu, selepas projek pertama berkenaan, MPK Lorong Tiga Selatan melalui Biro Ekonomi sekali lagi akan mengadakan bazar jualan yang akan diadakan di Pusat Insani, di sini, yang dinamakan ‘Maritah Berambih’, pada September nanti dan seterusnya akan menyertai Jualan KB Ceria pada April ini. Mereka juga telah diundang menyertai Jualan Antarabangsa di BRIDEX, Jerudong pada Mei depan.

“Apa yang kami harapkan, melalui aktiviti-aktiviti sebegini, biro-biro dalam Majlis Perundingan Kampung Lorong Tiga Selatan Seria akan terus meningkat dan lebih bersemangat dalam meningkatkan taraf ekonomi masing-masing, bukan saja secara individu tetapi juga bersama-sama demi kemajuan kampung,” ujarnya lagi.