Ekspo bantu pertukangan kayu tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Produk Insaf yang merupakan barangan yang dihasilkan oleh banduan melalui latihan kemahiran di dalam penjara merupakan di antara produk yang diketengahkan semasa Nightwalk at Little Soho yang diadakan bermula 29 Julai hingga awal Ogos di Little Soho, Batu Bersurat.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian ekspo anjuran Weelago.com dengan kolaborasi Insaf Jabatan Penjara, hari ini, ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Selain itu, ekspo tersebut diadakan adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai dengan bakat-bakat tempatan dalam pertukangan kayu dan kraf tangan.

Ia juga merupakan usaha untuk menggalakkan masyarakat untuk memilih produk-produk buatan tempatan bagi membantu merangsang ekonomi Brunei. Acara itu mengetengahkan tema, Reduce, Reuse, Recycle dalam menyokong kempen Julai Bebas Plastik di mana para pengunjung digalakkan untuk membawa beg membeli-belah dan bekas makanan mereka sendiri untuk mengurangkan penggunaan barangan plastik seperti beg atau bekas plastik.

Semasa acara itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbangkan perabot kecil dan sederhana yang terpakai atau rosak sebagai bahan mentah kepada Insaf Jabatan Penjara di mana ia akan digunakan untuk diperbaharui atau menghasilkan produk perabot sebagai sebahagian daripada program latihan kemahiran.

Program Insaf Jabatan Penjara memberikan peluang bagi para banduan melalui latihan kemahiran di dalam penjara untuk mengembangkan pengetahuan serta kemahiran sebagai persediaan dalam bidang kerjaya selepas dibebaskan.

Produk-produk oleh Insaf Jabatan Penjara juga boleh didapatkan secara atas talian melalui weelago.com.

Acara selama empat hari berkenaan dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula pukul 5 petang hingga 10 malam di mana ia mengetengahkan penyertaan PMKS serta juga pelbagai aktiviti untuk dinikmati oleh pengunjung pelbagai usia.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty semasa merasmikan Nightwalk at Little Soho yang diadakan di Little Soho, Batu Bersurat, kelmarin.
Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty meninjau pameran tersebut.