Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ekspo hortikultur pamer bandar hijau, mampan

    ALMERE, BELANDA – Bunga tulip menandakan bermulanya musim bunga – dan penduduk Belanda percaya bunga berkenaan juga boleh memaparkan cara-cara untuk memerangi perubahan iklim.

    Ribuan bunga tulip sedang berkembang mekar pada minggu ini untuk mengalu-alukan pelawat ke pembukaan pameran hortikultur Belanda yang diadakan sekali dalam satu dekad digelar Floriade, yang berusaha memperkenalkan inovasi hortikultur yang boleh menjadikan kawasan bandar lebih mampan dan lebih sihat ketika penduduk di seluruh dunia semakin beralih dan menetap di bandar.

    Sebuah bangunan universiti baharu yang terletak di tapak seluas 60 hektar di pinggir bandar moden berhampiran Amsterdam mempunyai tumbuhan membesar dari satu bahagian dinding, sementara satu blok pangsapuri dihiasi dalam corak bunga gergasi. Ia mencuar tinggi melampaui kereta kabel yang baru dibina dan sebuah arca keluli Corten yang terdiri daripada dua patung manusia diperbuat daripada puluhan ribu lebah.

    Pengarca Florentijn Hofman berkata dia berusaha menyampaikan mesej mengenai melindungi biodiversiti.

    “Kerja seni adalah mengenai hubungan di antara lebah dan kemanusiaan, mengenai kesalinghubungan. Ia mengenai keseimbangan dan hubungan unik di antara manusia dan haiwan serta hubungan kami yang kompleks dengan alam semula jadi,” ujarnya.

    Pekerja membuat persiapan terakhir di tapak Floriade untuk pameran hortikultur dunia di Almere. – AFP
    Sebuah bangunan universiti baharu di tapak 60 hektar di pinggir bandar moden berdekatan Amsterdam mempunyai tumbuhan yang ditanam di dindingnya pada pameran hortikultur Belanda Floriade. – AP
    Menara merpati Sarang Padang Pasir Qatar kelihatan di pameran hortikultur Belanda Floriade di Almere, Belanda. – AP
    Satoyama Farm Garden, astaka Jepun, dilihat di pameran hortikultur Floriade. – AP

    Malah tapak itu sendiri menyerlahkan kepakaran teknikal Belanda – ia dibina di tanah yang ditebus guna dari laut beberapa dekad lalu. Dan di tengah krisis perumahan Belanda, rupa bumi Floriade diramalkan akan menjadi sebuah kawasan bandar baharu terdiri daripada 3,000 rumah selepas ekspo berakhir pada 9 Oktober nanti.

    Raja Belanda, Willem-Alexander merasmikan acara pembukaan pada Rabu. Ia menjangka mengalu-alukan dua juta pelawat ketika pameran melalui perubahan musim, dari musim bunga ke musim panas dan musim luruh.

    Warisan yang ditinggalkan akan menjadi ‘kawasan perumahan yang amat hijau, taman botani penduduk,” kata Annemarie Jorritsma, wakil kanan Belanda pada pameran itu.

    “Orang akan tinggal dalam alam semula jadi. Dan saya fikir ia akan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan untuk tinggal di sini.”

    Floriades sebelum ini adalah mengenai pembinaan taman sementara edisi ini adalah mengenai pembinaan sebuah bandar, menurut arkitek Winy Maas, yang mereka bentuk susun atur bandar berkenaan.

    “Untuk kali pertama, ia adalah sebuah Floriade yang boleh dijadikan kawasan perumahan. Floriade akan memaparkan rupa bandar hijau pada masa depan, jenis bahan yang boleh digunakan dan perana yang dimainkan oleh sektor hortikultur,” katanya.

    Lebih daripada 25 buah negara akan membentangkan idea mampan semasa pameran tahun ini di bawah tema ‘Membangunkan Bandar Hijau.’ Belanda, pemimpin dunia dalam hortikultur, mempunyai rumah hijau seluas satu hektar di mana petani mempamerkan hasil inovasi terbaharu mereka.

    Negara lain sedang menggabungkan idea lama dan baharu dalam astaka kebangsaan mereka – daripada bangunan cetakan 3D Qatar berbentuk seperti menara burung merpati lama kepada China yang menunjukkan cara-cara baharu menggunakan buluh, bahan pembinaan tradisional.

    “Apa yang amat saya sukai adalah China telah bersusah payah melakukan sesuatu yang bukan bersifat tradisional, malah menggunakan bahan tradisional, iaitu buluh, untuk pembangunan amat moden,” kata Jorritsma.

    “Maka awda juga boleh melihat bahawa di China, orang kini sedang memikirkan mengenai apa yang kami lakukan. Bagaimana kami boleh mengubah penggunaan bahan yang telah pun kami miliki dan menggunakannya dalam cara amat moden?” tambah beliau.

    Sementara itu, astaka Jerman dihiasi dengan tanaman termasuk tumbuhan taman, pokok, tanaman makanan dan bunga liar untuk membentuk ‘ekosistem hidup dengan kemunculan mereka berubah sepanjang pameran, kata penganjur.

    Perancis akan menunjukkan bagaimana pokok besi tiruan boleh digunakan untuk menyejukkan bandar.

    “Floriade merupakan tempat terbaik untuk menunjukkan apa yang perlu diubah oleh negara pada bandar mereka,” beritahu Detlef Wintzen, salah seorang peserta pameran di astaka Jerman, kepada AFP.

    Almere, bandar paling muda negara, merancang memiliki ‘kawasan perumahan hijau di tepi sungai’ selepas Floriade berakhir.

    Kira-kira 660 buah rumah akan dibina di daerah ‘Hortus’, kebanyakan mereka dibuat daripada bahan tahan lama seperti lumut dan cendawan.

    Sebuah bangunan berwarna-warni di tengah pameran akhirnya akan berfungsi sebagai perumanan sosial, dan ‘rumah terapung’ juga sedang dirancang. – AP/AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...