Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) ke-12 yang bermula pada 3 November lalu berakhir dengan majlis penghargaan dan ekspo mini yang berlangsung di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pemangku Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan di ekspo berkenaan.
Timbalan Setiausaha Tetap I di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dalam ucapannya di majlis itu berkata, sebanyak 65 pengusaha telah mengikuti aktiviti gerai jualan Ekspo Mini HPPPN ke-12 di mana mana beberapa pengusaha telah mengambil peluang untuk menjalinkan kerjasama pernia-gaan bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka.
Turut hadir pada majlis itu ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan di bawahnya.
Sementara dalam temu bual media dengan peserta ekspo mini, Bendahari Koperasi Persatuan Ikatan Tanah Jambu (PITA), Hajah Nuayah binti Haji Hashim antara lain mengongsikan bahawa sambutan orang ramai terhadap produk Koperasi PITA yang diketengahkan dalam ekspo itu adalah menggalakan.
“Koperasi PITA mempunyai dua produk yang dihasilkan dari ladang PITA iaitu ladang rambutan pelbagai jenis dan ladang kelapa yang mana pengendalian ladang ini dilaksanakan oleh gabungan belia dan golongan veteran,” jelasnya.
Manakala itu, pengunjung yang ditemui rata-ratanya melahirkan harapan agar ekspo seumpamanya akan dapat dilaksanakan lagi dalam usaha mengetengahkan pengusaha tempatan selain mengenali produk-produk yang dihasilkan oleh anak tempatan sendiri.
Ekspo berkenaan turut dimeriahkan dengan beberapa program dan aktiviti menarik, antaranya seminar daripada pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan, business matching dari beberapa buah syarikat dan demonstrasi produk pertanian dan perikanan.
Ia juga mengetengahkan jualan produk perikanan, pertanian dan agrimakanan dari peladang, petani, penternak dan nelayan serta pengusaha perikanan dan pertanian dan agrimakanan dari keempat-empat daerah.
Majlis penghargaan kepada pemenang bagi kategori tanaman iaitu sayur, buah, pelbagai tanaman dan florikultur (bungan hiasan) dan kategori komoditi iaitu keropok udang tempatan dan ikan hiasan seperti betta itu diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kepada hakim anugerah khas dan pertandingan HPPPN.