Ekspo Pendidikan Tinggi 2020 dapat sambutan hebat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Ekspo Pendidikan Tinggi 2020 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar dan ibu bapa serta penjaga.

Ekspo berkenaan telah dirasmikan semalam, oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat majlis.

Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Bahagian Biasiswa, ekspo berkenaan bukan sahaja diisikan dengan pameran dan sesi konsultasi, malah sesi taklimat, seminar dan forum daripada beberapa institusi pendidikan, agensi kerajaan dan persatuan tempatan. Antara aktiviti yang dikendalikan adalah perkongsian pengetahuan mengenai kemahiran penulisan Personel Statement, Curriculum Vitae dan tip temu duga, Higher Education Pathways seperti permohonan HECAS, tawaran-tawaran biasiswa dan peluang pembelajaran sepanjang hayat, program-program baharu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi, peluang-peluang kerjaya pada masa hadapan dan forum motivasi keusahawanan.

Sejumlah 83 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan juga agensi-agensi kerajaan dan swasta lain yang berkaitan menyertai ekspo tahun ini. Ini termasuk 13 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta dalam negara, 36 institusi pendidikan luar negara, 23 agensi kerajaan dan swasta, lapan agensi perkhidmatan pendidikan dalam dan luar negara serta tiga misi dan perwakilan luar negara.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika meninjau petak pameran yang disertai oleh 83 institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan juga agensi-agensi kerajaan dan swasta lainnya.