Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7Feb – Kementerian Pendidikan akan menyatukan kesemua institusi pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi kerajaan, swasta dan antarabangsa di bawah satu bumbung menerusi Ekspo Pengajian Tinggi 2017 sebagai landasan kepada orang awam dan pelajar untuk meneroka peluang-peluang pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi sama ada dalam mahupun luar Negara.
Ekspo berkenaan akan diadakan hujung minggu ini pada 11 dan 12 Februari di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong.
Semasa sidang media di Bangunan Lama, Kementerian Pendidikan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Pengajian Tinggi), Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee selaku Ketua Bahagian Pengajian Tinggi, memberitahu bahawa berkenan berangkat merasmikan ekspo itu nanti ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pada 11 Februari.
Menurut beliau lagi, ekspo berkenaan juga akan mempamerkan pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan pengajian tinggi di negara ini.
“Kita berharap ekspo ini akan memudahkan pelajar yang cenderung atau berminat untuk berinteraksi dengan pelbagai institusi bagi mendapatkan nasihat mengenai peluang-peluang kemasukan mereka dalam satu waktu yang munasabah.
“Kita juga berharap pengunjung akan mendapat sedikit imbasan mengenai usaha-usaha yang giat dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dalam mencapai hasrat mempertingkatkan kemasukan pelajar ke peringkat pasca-menengah dan meningkatkan purata graduan keluar daripada pengajian tinggi dalam program-program yang bernilai tinggi seterusnya membantu dalam perkembangan ekonomi negara,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kesemua institusi pengajian tinggi awam di negara ini iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) akan menyertai ekspo berkenaan.
Manakala itu, institusi pengajian tinggi swasta yang akan turut serta termasuk Kolej Perniagaan Laksamana, Kolej IGS, Micronet, Kemuda dan BICPA.
Ekspo yang berprestij ini juga akan disertai oleh institusi pengajian tinggi antarabangsa antaranya Glasgow Caledonian University, RMIT University, Michigan State University, INTI College, University of Nottingham, Osaka University, Kagawa University, Asia Pacific University of Technology & Innovation, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan SEGI University,dan sebagainya.
“Ekspo tahun ini agak berbeza sedikit, di mana ia akan disertai oleh agensi-agensi lain seperti DARe, BSP, E-Village, di bawah inisiatif ‘National Entrepreneurship Agenda’ Kementerian Pendidikan dan sebagainya,” ujar beliau.
Seperti tahun lalu, Kementerian Pendidikan akan diwakili oleh Bahagian Biasiswa, Bahagian Pengajian Tinggi – khasnya Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan Pinjaman dan Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS) dan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) untuk menjawab segala pertanyaan-pertanyaan yang berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai terutamanya pada pelajar dialu-alukan untuk berkunjung ke ekspo dua hari berkenaan yang akan dibuka dari pukul 10:30 pagi hingga 9 malam pada hari pertama dan 9 pagi hingga 9 malam pada hari kedua.
Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Ketua Bahagian Dermasiswa, Haji Ibrahim bin Haji Bagol dan Pengarah IBTE, Dr Chin Wei Keh.