Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sebanyak 31 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta lain yang berkaitan menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2022 Kementerian Pendidikan yang telah dibuka rasmi kelmarin.
Majlis perasmian ekspo telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan.
Ekspo yang disertai sebanyak 15 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta dalam dan luar negara serta 16 agensi kerajaan dan swasta itu diadakan secara dalam talian sehingga 11 Februari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Ia diadakan secara dalam talian sebagai landasan alternatif kepada ekspo bersemuka, bagi mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19.
Ini adalah kali ke-7 ia diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi. Fokus utama ekspo ini adalah sebagai pusat informasi sehenti pengajian tinggi yang menyatukan semua institusi-institusi pengajian pasca menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam negara yang berkaitan di bawah satu platform bagi memberikan gambaran mengenai landskap pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.
Ekspo dalam talian tahun ini bertujuan untuk mewujudkan suasana real life time khususnya dalam memberikan peluang kepada orang ramai berinteraksi secara sembang langsung dan persidangan video bersama para peserta ekspo.
Di samping itu, ekspo itu dihasratkan akan dapat memberikan orang ramai peluang untuk mengetahui pelbagai laluan ke pengajian tinggi dan peluang-peluang pendidikan yang sedia ada di negara ini.
Ekspo berkenaan diharapkan dapat memudahkan pelajar-pelajar yang berkeinginan untuk meningkatkan tahap pengajian dengan berinteraksi secara langsung bersama pihak institusi-institusi dan agensi-agensi pendidikan yang berkenaan.
IPTA yang ikut serta dalam ekspo tersebut termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Manakala itu, beberapa buah institusi pengajian tinggi swasta juga menyertai ekspo seperti Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Kolej Antarabangsa Micronet (MIC), Institut Kemuda, BICPA – FTMS Accountancy Academy, Mahakarya Institute of the Arts Asia, HAD Tech College, Institusi Pengurusan Hotel dan Pelancongan Switzerland dan Beyond Tomorrow College.
Institusi-institusi berkenaan akan memperkenalkan program-program yang akan ditawarkan, syarat-syarat kemasukan, tatacara pendaftaran dan segala maklumat yang berkaitan dengannya.
Semasa ekspo itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan maklumat-maklumat terkini yang berkaitan dengan Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS), biasiswa-biasiswa kerajaan, permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan dan sebagainya.
Kementerian Pendidikan akan diwakili oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Unit Perkembangan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah.
Selain itu, ekspo juga disertai oleh beberapa buah agensi kerajaan dan swasta yang terdiri daripada Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kedutaan Jepun, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).
Manakala itu, agensi-agensi per-khidmatan pendidikan pula disertai oleh Findlay (B) Sdn Bhd, HRDS Education Services dan Regalia Marketing and Services.
Beberapa aktiviti juga telah disusun bagi ekspo itu seperti webinar dari institusi-institusi pendidikan dan persatuan-persatuan tempatan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.