Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ekspo Pengajian Tinggi ke-8 secara maya Februari depan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Sebanyak 26 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan serta agensi-agensi kerajaan dan swasta akan menyertai Ekspo Pengajian Tinggi ke-8 2023 yang akan diadakan secara maya pada 13 hingga 16 Februari depan.

    Ekspo anjuran Kementerian Pendidikan itu akan melibatkan 11 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara, dua institusi dari luar negara, dua kedutaan dan 11 agensi kerajaan dan swasta.

    Penjelasan mengenai ekspo berkenaan telah dibuat oleh Pemangku Peno-long Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin selaku Timbalan Ketua Pentadbir Projek Ekspo Pengajian Tinggi 2023 semasa sidang media di Dewan Persidangan 1 (P1), Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, antara tujuan ekspo adalah sebagai pusat informasi sehenti pengajian tinggi yang menggabungkan institusi-institusi daripada pengajian pasca menengah, pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam negara yang berkaitan di bawah satu platform bagi memberikan gambaran mengenai pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

    Ia juga memberikan peluang kepada orang ramai berinteraksi secara sembang langsung dan menghadiri persidangan video bersama pusat-pusat pengajian tinggi dan agensi-agensi sektor pendidikan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.

    Dayang Dina Roslina menerangkan mengenai ekspo semasa sidang media hari ini.

    Di samping, ekspo berkenaan juga menyediakan landasan bagi orang ramai untuk mengetahui tentang pelbagai laluan ke pengajian tinggi dan prospek pendidikan yang sedia ada di dalam negara.

    Antara institusi-institusi pengajian tinggi awam tempatan yang menyertai adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Manakala institusi pengajian tinggi swasta yang turut serta ialah Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Institut Kemuda (KI); Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants Academy Sdn Bhd (BICPA), Jerudong Park Medical Centre College of Health Sciences (JCHS) dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS).

    Ekspo turut disertai oleh dua institusi dari luar negara iaitu Centre for Technology Excellence, Sarawak, Malaysia dan Gachon University, Republik Korea.

    Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga akan memberigakan maklumat-maklumat terkini seperti Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS), biasiswa-biasiswa
    kerajaan dan permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan.

    Jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang akan menyertai ekspo itu adalah Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Unit Kaunseling dan Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah dan Pusat Keusahawanan Inovasi.

    Turut terlibat adalah Kedutaan Besar Jepun, Kedutaan Besar Republik Rakyat China, Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri, HRD Services, Syarikat Pakar Tenaga Bersatu Sdn Bhd, Mahkota Maju Sdn Bhd;
    Beyond Tomorrow, MEG Educational Services, Australian Trade and Investment Commission (Austrade), Kumpulan Syarikat-syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); Bank Baiduri, Hengyi Industries Sdn Bhd dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...