JOHANNESBURG, 9 Nov – Ekspo Perniagaan Afrika-ASEAN (AABE) 2017, yang julung kali diadakan di bandar Johannesburg, Afrika Selatan berlangsung mulai 6 hingga 8 November, disertai ratusan firma dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand dan Vietnam serta Afrika, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Bercakap pada majlis perasmiannya, Menteri Pembangunan Perniagaan Kecil Afrika Selatan, Lindiwe Zulu berkata, acara yang dipelopori Kesatuan Afrika dan ASEAN itu, satu langkah ke hadapan dalam mempromosikan integrasi ekonomi dan perdagangan antara Afrika dan ASEAN.
Sementara itu, Persekutuan Pembuatan Singapura dan Dewan Perniagaan dan Industri Johannesburg turut menganjurkan Forum Perniagaan Afrika-ASEAN.
Bercakap pada forum berkenaan, Duta Vietnam ke Afrika Selatan, Vu Van Dung berkata, dengan pertumbuhan purata lebih 6.6 peratus sejak tahun 1986 hingga 2016, ekonomi Vietnam pesat berkembang.
Selepas 24 tahun pembaharuan dan integrasi ekonomi global, Vietnam menjadi negara berpendapatan sederhana pada 2016, apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita menghampiri AS$2,000.
Dagangan dua hala antara Vietnam dan Afrika Selatan pula, bernilai AS$1.2 bilion tahun lepas. AABE kedua dijadualkan pada 2018 di Singapura. – Bernama