Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo PMKS, CAEXPO dirasmi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, semalam berkenan berangkat merasmikan Ekspo dan Persidangan Inovasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kali pertama dan Pameran China-ASEAN (CAEXPO) Brunei 2017.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Dewan BRIDEX 1, Jerudong telah dijunjung oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

    Antara yang hadir di majlis itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Pada majlis itu, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

    Di majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung merasmikan laman sesawang BusinessBN dan Made in Brunei sebelum berangkat menyaksikan pameran.

    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan menyempurnakan Perasmian Ekspo dan Persidangan Inovasi PMKS kali pertama dan Pameran CAEXPO Brunei 2017.
    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan menyempurnakan Perasmian Ekspo dan Persidangan Inovasi PMKS kali pertama dan Pameran CAEXPO Brunei 2017.
    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan melawat salah satu pameran yang menghasilkan produk tempatan.
    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan melawat salah satu pameran yang menghasilkan produk tempatan.
    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan melawat salah sebuah syarikat tempatan yang menghasilkan produk madu lebah kelulut.
    Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan melawat salah sebuah syarikat tempatan yang menghasilkan produk madu lebah kelulut.

    Portal laman sesawang BusinessBN menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang menghubungkan komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa serta bakal usahawan, di samping memberikan maklumat terkini mengenai perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan menjalankan perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, inisiatif Made in Brunei pula merupakan inisiatif Darussalam Enterprise (DARe) yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tempatan dan antarabangsa yang mana produk yang dihasilkan oleh Brunei adalah berkualiti tinggi.

    Expo PMKS yang julung kalinya diadakan bertema ‘Made in Brunei Market Fair’ itu berlangsung sehingga esok di Dewan BRIDEX 1 dan 2 bermula 10:30 pagi hingga 9 malam.

    Selain penyertaan daripada pengusaha tempatan, beberapa syarikat dari China juga ikut serta dalam mempamerkan produk mereka sebagai sebahagian daripada Pameran CAEXPO Brunei 2017.

    Ekspo berkenaan menyediakan platform kepada syarikat tempatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka yang mana ia berjaya menarik 200 PMKS tempatan termasuk majlis perundingan kampung dari keempat-empat daerah.

    Di samping itu, syarikat dari negara jiran seperti Sabah dan Sarawak, Malaysia Vietnam dan Indonesia juga ikut serta dalam ekspo tersebut.

    Made in Brunei Market Fair berkenaan turut memberi peluang kepada PMKS untuk memperlihatkan strategi pemasaran dan pembungkusan yang terbaik seterusnya mempamerkan produk mereka supaya pengguna dan pembeli akan memilih dan menyokong produk tempatan.

    Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pelabur dan pengedar yang menghadiri ekspo tersebut untuk berjumpa dengan rakan niaga akan datang sekali gus membantu pengusaha tempatan untuk berkembang dan meningkatkan potensi eksport mereka ke luar negara.

    Acara berkenaan dianjurkan Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri dan DARe dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Rantau Autonomi Guangxi, Republik Rakyat China.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda