Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Ekspo Keusahawanan Belia 2017 anjuran Starbugs Event Management yang telah bermula semalam di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah secara rasminya dilancarkan hari ini.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat majlis.
Ekspo berkenaan merupakan salah satu ekspo pameran yang mempamerkan pelbagai produk jualan hijab, skarf, aksesori, beg tangan dan banyak lagi.
Ia diadakan bagi memberi peluang kepada anak-anak belia Brunei untuk mempromosikan dan memperkembangkan lagi produk jualan kepada orang ramai di samping sebagai salah satu platform di mana anak-anak belia Brunei bergabung di bawah satu bumbung dengan mempamerkan hasil jualan produk buatan mereka sendiri.

Ekspo yang berlangsung selama enam hari hingga 2 Oktober itu juga diserikan lagi dengan festival durian yang merupakan acara terbaru bagi peminat durian di Brunei.
Orang ramai berpeluang untuk makan durian sepuas-puasnya hanya dengan harga $15 untuk orang dewasa dan $10 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Antara aktiviti lainnya yang turut diadakan termasuk pameran kereta mewah seperti Hummer, Mesarati dan banyak lagi.
Selain itu, pameran kucing eksotik seperti kucing Bengal juga ada diadakan di samping pameran buaya. Lebih 60 petak dan lebih daripada 80 pengusaha belia ikut serta dalam acara berkenaan.