Ekspo rumah selama tiga hari

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Orang ramai yang ingin memiliki rumah mereka sendiri berpeluang untuk menyaksikan rumah-rumah yang dimajukan oleh Hartamas Jutaria Developer semasa Home Expo anjuran bersama Hartamas Jutaria Developer dan Bank Baiduri yang berlangsung di Times Square, Berakas.

Ekspo selama tiga hari bermula hari ini telah dirasmikan bersama oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Tengku Putra Muhammed Harris Fadzillah bin Tengku Pengiran.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Urusan Hartamas Jutaria Developer, Awang Nor Muhd Iqmal bin Haji Abdul Hamid dan Pengarah Eksekutif Hartamas Jutaria Developer, Awang Azizul Massyuddi bin Haji Abdullah.

Awang Nor Muhd Iqmal dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Bank Baiduri yang bukan sahaja mempromosikan produk-produk mereka di ekspo berkenaan tetapi secara tidak langsung membantu pelanggan yang berkeinginan untuk memiliki rumah daripada pihaknya dari segi urusan kewangan.

Beliau turut berkata bahawa ekspo itu bermatlamat untuk mempromosikan rumah-rumah yang akan dimajukan oleh Hartamas Jutaria serta membantu memberikan pilihan kepada orang ramai yang ingin memiliki rumah mereka sendiri.

Majlis kemudian menyaksikan perasmian ekspo bersama oleh Pengiran Azaleen dan Tengku Putra Muhammad Harris Fadzillah yang seterusnya melawat petak-petak pameran daripada pembekal serta ejen hartanah yang menyertai ekspo berkenaan.

Pengiran Azaleen semasa menyaksikan ekspo yang diadakan di Times Square, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani