Ekspo Seasons Fair terokai peluang perniagaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan akan mengadakan ekspo, Seasons Fair selama enam hari dan akan dikendalikan empat kali setahun mengikut peralihan musim.

Ekspo pertama yang dinamakan, Seasons Fair: Family Fun yang membawa tema musim panas, akan bermula pada pertengahan Jun nanti di Salambigar, di mana ia akan mengetengahkan produk-produk seperti peralatan elektronik, perkakas rumah, keperluan harian, kosmetik, pakaian dan produk buah tangan.

Penganjuran ekspo itu dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para peniaga untuk memanfaatkan Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan sebagai platform untuk mengumpulkan pihak perniagaan bagi mengetengahkan produk terkini mereka, selain meneroka peluang perniagaan, menjalinkan rangkaian dengan rakan kongsi perniagaan serta berinteraksi terus dengan pelanggan mereka.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng semasa sidang media mengenai penganjuran ekspo Seasons Fair yang berlangsung di Ibu Pejabat Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, hari ini. Beliau menerangkan bahawa ekspo itu juga akan mengetengahkan tema kekeluargaan di mana ia memberikan peluang kepada para pengunjung untuk beriadah bersama keluarga dan menyertai pelbagai aktiviti menarik, interaktif serta berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik. Ekspo itu nanti akan mengetengahkan sebanyak kira-kira 40 buah gerai pameran dan juga mempunyai kawasan yang khusus bagi aktiviti.

Beliau turut menyatakan bahawa disebabkan oleh COVID-19, peserta dari luar negara tidak dapat menyertai ekspo berkenaan tetapi mereka boleh menghantar produk mereka ke negara ini di mana Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan akan menyelaras serta membantu mereka dalam mempromosikan produk-produk mereka. Lim Tiong Han menyatakan harapan ekspo berkenaan dijadikan acara tahunan dan akan mengetengahkan pelbagai tema termasuk digunakan sebagai platform untuk memberikan pendedahan kepada usahawan tempatan dan digunakan mengetengahkan keunikan budaya Brunei.

Lim Tiong Han dan ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan bergambar ramai.