Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Ekspo Souq Al-Qudwah 3.0 buka tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Ekspo Souq Al-Qudwah 3.0 telah membuka tirainya hari ini di Kompleks Membeli-belah One City, Sungai Hanching, di mana ia akan berlangsung hingga 2 Oktober ini.

    Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Dengan tema ‘Memperkasa dan Menjadikan Muslimpreneurs Sebagai Tauladan ke arah Kejayaan’, ekspo kali ini dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan diungkayahkan bersama Konsortium Muallafpreneurs dan rakan-rakan strategik daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

    Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, ekspo berkenaan menyediakan 40 petak jualan dan pameran.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan datin melihat lebih dekat lagi produk jualan dan pameran di ekspo berkenaan.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama merasmikan Ekspo Souq Al-Qudwah 3.0 di One City.

    “Selain vendor yang terdiri daripada asnaf mualaf iaitu Konsortium Muallafpreneurs, beberapa vendor lain juga dijemput untuk sama-sama bergabung dan memeriahkan lagi Ekspo Souq Al-Qudwah ini,” ujarnya.

    Beliau menambah, antara kategori produk jualan yang diketengahkan ialah kraf tangan, makanan basah dan kering, minuman, busana dan agrimakanan, pertanian dan perabot.

    Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah dalam ucapannya selaku pengerusi bersama majlis berkata, sejak ekspo berkenaan diperkenalkan pada 2019, penglibatan usahawan atau Muslimpreneurs dalam kalangan asnaf dan golongan tertentu di negara ini semakin bertambah.

    Ini adalah satu petanda baik kerana adanya permintaan pelanggan kepada barangan dan khidmat yang disajikan atau ditawarkan oleh pengusaha Muslimpreneurs, ujarnya.

    Menurutnya lagi, dengan adanya ekspo berkenaan, diharap lebih ramai lagi Muslim-preneurs dan pihak berkepentingan yang lain tampil ke hadapan dalam sama-sama berganding bahu bagi meningkatkan mutu Ekspo Souq Al-Qudwah ke tahap yang lebih tinggi dan gemilang.

    Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan sumbangan Buku Bimbingan Asas Fardu Ain daripada BIBD.

    Selain jualan, ekspo turut dimeriahkan dengan pelbagai peraduan menarik untuk para pengunjung seperti peraduan menulis Jawi, membaca Jawi, membaca Sayyidul Istighfar, menghafaz surah-surah lazim, menulis seni khat dan banyak lagi.

    Ia juga akan diisikan dengan persembahan tausyeh oleh belia-belia da’ie dan belia-belia As-Syahadah daripada Program Keagamaan Belia; dan Tazkirah Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, serta acara Malam Puisi Islam.

    Antara usahawan yang menyertai ekspo jualan dan pameran ialah ahli-ahli Konsortium Mualafpreneurs, Belia Muallaf As-Syahadah, kedai buku PDI, Perbadanan TAIB, penerima agihan zakat Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), ahli-ahli Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), Usahawan Bekarih Yayasan, Kaligrafi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rakan Seliaan dan INSAF, Program BIBDSEED dan Transformasi Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...